Ahad, 13 March 2022 | 1:42pm

Wajibkan GLC, GLIC laksana gaji minimum RM1,500

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mewajibkan gaji minimum RM1,500 kepada semua sektor swasta termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkenaan pengesahan gaji minimum RM1,500 pekerja dalam negara itu, wajar dijadikan asas dan panduan kepada syarikat swasta melaksanakan perkara itu.

Katanya, kerajaan perlu mewajibkan gaji minimum RM1,500 kepada pekerja sektor swasta melalui perintah gaji minimum dan bukannya hanya menasihatkan syarikat supaya melaksanakan perkara sama.

"Pengakuan Perdana Menteri bahawa pekerja yang mempunyai pendapatan rendah boleh dibantu dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 adalah satu kenyataan yang realiti.

"Kajian dan perbincangan selesai dijalankan membabitkan kerajaan, kesatuan sekerja dan persatuan majikan. Sepatutnya kerajaan boleh mewajibkan kadar baharu setelah kajian dikemukakan kepada Kabinet," katanya.

Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan gaji minimum kakitangan tetap GLC dan GLIC wajar dibayar RM1,500 dan meminta ia turut dicontohi pihak swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja berpendapatan rendah.

Pada masa sama, kerajaan komited memastikan perkara itu memandangkan kerajaan juga sudah pastikan penjawat awam menerima gaji dan elaun dalam jumlah minimum itu, selain prihatin atas cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Mengulas lanjut, MTUC turut menggesa gaji minimum tidak dijadikan modal kempen politik mana-mana parti ketika ini, kerana kadar baharu gaji minimum adalah satu keperluan mendesak bagi pekerja.

"Sudah tiba masanya Kabinet mengumumkannya seperti mana Akta Gaji Minima yang memerlukan kerajaan mengkaji dalam tempoh dua tahun," katanya.

Pada masa sama, MTUC masih menunggu masa sesuai berjumpa Perdana Menteri untuk berbincang mengenai kesusahan pekerja dalam mendepani kos sara hidup dan kewajaran gaji minimum RM1,500 adalah keutamaan pihaknya dalam perbincangan.

Berita Harian X