Ahad, 13 March 2022 | 12:32pm
Jalaluddin menyerahkan sumbangan ‘Back to School’ kepada penerima pada majlis di Kuala Klawang. - FOTO NSTP/ ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Jalaluddin menyerahkan sumbangan ‘Back to School’ kepada penerima pada majlis di Kuala Klawang. - FOTO NSTP/ ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

MKT UMNO akan bincang, putuskan soal PRU-15

JELEBU: Keputusan sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) wajar diadakan dalam tempoh terdekat atau sebaliknya akan diputuskan melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak lama lagi.

Ahli MKT, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata keputusan mengenainya akan dibuat sebelum hasilnya diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dipertimbangkan.

Katanya, biarlah MKT menggunakan kebijaksanaan bagi membuat keputusan sebelum mencadangkan kepada Perdana Menteri bila tarikh sesuai untuk adakan PRU-15.

"Kita ada ramai komander politik seperti Presiden, Timbalan Presiden termasuk Perdana Menteri sendiri dan biarlah perbincangan dilakukan mengikut lunas dan forum sewajarnya bagi membuat keputusan.

"Saya percaya pelbagai perkara akan diperhalusi termasuk kepentingan negara dan rakyat sebelum keputusan mengadakan PRU-15 dibuat, " katanya ketika ditemui pada Program Back To School di perkarangan Dewan Majlis Daerah Jelebu (MDJ) di Petaling, di sini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof dan ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, menjadi kelaziman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memanggil mesyuarat bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk mengadakan PRU-15 sebelum atau selepas perhimpunan agung UMNO.

Mengulas kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, katanya ia membuktikan BN kembali mendapat mandat rakyat dan ia perlu diurus dengan baik untuk meneruskan kemenangan dan kejayaan dalam PRU-15 nanti.

Mengenai Memorandum Persefahaman ( Mou ) Tranformasi dan Kestabilan Politik dimeterai Pakatan Harapan (PH ) September tahun lalu yang berakhir pada 31 Julai depan, Jalaluddin yang Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri serta kepemimpinan tertinggi parti untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembangkang tiada masalah meneruskan MoU itu lebih-lebih lagi selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti.

Berita Harian X