Sabtu, 12 March 2022 | 2:12pm

Jawatankuasa teknikal kaji pergerakan tanah di lokasi runtuhan

AMPANG JAYA: Pasukan jawatankuasa teknikal kerajaan masih mengkaji pergerakan di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, yang mengorbankan nyawa Khamis lalu.

Selain Jabatan Kerja Raya (JKR), turut terbabit dalam kajian itu ialah Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Justeru, lokasi berkenaan masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan serta mengalihkan tanah runtuh dijalankan buat masa ini berikutan tahap kestabilan tanah masih belum dipastikan.

Ahli Majlis MPAJ Zon 23, Mohamad Samat, berkata sebarang keputusan untuk tindakan susulan di tempat kejadian bergantung keputusan kajian dijalankan jawatankuasa pasukan teknikal kerajaan itu kelak.

"Pasukan berkenaan kini mungkin masih lagi mengkaji kekukuhan cerun sebelum keputusan lain dibuat termasuk kerja pembersihan.

"Kita difahamkan JKR menanam alat sensor (pengesan) di atas bukit terjejas dan sensor sensitifnya mengesan secara berkala sebarang pergerakan tanah baharu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Beliau berkata, sebarang tindakan lanjut mungkin dapat diputuskan dalam tempoh sehari dua lagi kerana tidak mahu timbul risiko sekiranya keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

"Apa yang penting sekarang adalah kita minta penduduk terjejas untuk segera tampil membuat laporan dan mendaftarkan diri kepada pihak kami untuk kita aturkan bantuan sewajarnya.

"Buat masa ini, hanya 70 peratus penduduk daripada 48 kediaman yang terjejas dan terpaksa berpindah sudah mendaftar. Justeru kita minta keluarga yang belum tampil untuk berbuat demikian hadir ke pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 23," katanya.

Dalam pada itu, katanya sejak menjadi Ahli Majlis MPAJ lebih 10 tahun lalu, kawasan ini dianggap selamat, justeru kejadian tanah runtuh yang berlaku kelmarin amat tidak disangka dan mengejutkan semua pihak.

"Kawasan runtuhan adalah kawasan yang langsung kami tidak jangka (berlaku runtuhan) kerana mengikut sejarah, dari Jalan Teratai 1/2K hingga Sekolah Menengah Taman Seraya di Jalan Bunga Melati 10, jaraknya kira-kira satu kilometer.

"Dalam jarak ini, 80 peratus tebing adalah batuan dan hanya Jalan Teratai 1/2K dan Jalan Teratai 1/2J adalah tanah tambak daripada zaman pembangunan kawasan ini dulu," katanya.

Justeru, beliau zon penampan antara rumah penduduk di dua jalan itu dengan cerun yang runtuh juga dalam jarak selamat iaitu hampir 10 meter.

Tambah beliau, kawasan ini sering dipantau bagi mengelak berlaku batuan jatuh, runtuhan kecil dan MPAJ serta kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk kerja memperkukuh cerun, membaiki longkang rosak dan membersihkan pokok tumbang.

Pasukan jawatankuasa teknikal melakukan pemantauan dan mengkaji pergerakan tanah di kawasan runtuhan di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - FOTO NSTP / ASYRAF HAMZAH
Pasukan jawatankuasa teknikal melakukan pemantauan dan mengkaji pergerakan tanah di kawasan runtuhan di Taman Bukit Permai 2, Ampang. - FOTO NSTP / ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X