Sabtu, 12 March 2022 | 12:32pm

PRN Johor: Pengundi muda teruja dapat peluang memilih

JOHOR BAHRU: Pemilih berusia 18 hingga 20 tahun yang menjadi kumpulan pertama mengundi dalam sejarah sistem demokrasi negara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, teruja mendapat hak menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Nur Farisha Wahida Mostapha @ Zakaria, 19, berkata dia memanfaatkan cuti pertengahan semester di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak untuk keluar mengundi pagi ini, namun mengakui agak gementar.

"Sedikit gementar kerana tak tahu hendak pilih siapa, tetapi keluarga saya memberikan semangat untuk keluar mengundi hari ini. Saya agak lega selepas mengundi dan bangga menjadi sebahagian daripada rakyat Johor memilih kerajaan negeri yang baharu demi masa depan," katanya yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, Masai, Pasir Gudang.

Bagi Sanjena Ananthan, 18, yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, perasaannya bercampur baur antara teruja dan gementar kerana berpeluang memilih pemimpin.

"Saya rasa gementar tetapi teruja kerana tak mahu ketinggalan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah Johor hari ini. Langkah kerajaan beri peluang kepada golongan muda seperti saya mengundi memang bagus, ia menunjukkan suara anak muda macam kami ini penting dalam demokrasi negara," katanya.

Seramai 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas di Johor susulan pendaftaran automatik Undi18 layak mengundi pada PRN hari ini. Ia menjadikan jumlah pengundi di Johor meningkat kira-kira 28 peratus kepada 2,539,606 orang berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita berkaitan:

  • LANGSUNG Johor mengundi
  • Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, (kiri) dan Sanjena Ananthan, 18, mengundi di SK Taman Sutera, Johor Bahru bagi kerusi DUN Perling. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
    Nadia Nur Aisyah Abdull Manan, 18, (kiri) dan Sanjena Ananthan, 18, mengundi di SK Taman Sutera, Johor Bahru bagi kerusi DUN Perling. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
    Berita Harian X