Sabtu, 12 March 2022 | 10:02am
Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Srii Muar bagi DUN Maharani. - Foto NSTP/Suzalina Halid
Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Srii Muar bagi DUN Maharani. - Foto NSTP/Suzalina Halid

Muar sesak petanda baik - Muhyiddin

MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keadaan bandar Muar yang sesak adalah petanda pelaksanaan sistem demokrasi berjalan dengan baik apabila ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung menjalankan tanggungjawab mengundi.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya menyasarkan jumlah rakyat Johor yang keluar mengundi hari ini adalah 70 hingga 80 peratus berdasarkan pola kesesakan itu yang menunjukkan ramai pulang ke kampung bagi mengundi.

Mengulas lanjut katanya, peratusan mengundi yang tinggi adalah penting bagi mencerminkan kehendak realiti rakyat Johor terhadap kerajaan yang bakal dibentuk, esok.

"Saya diberitahu Muar sesak, mungkin petanda baik ramai dari luar balik untuk mengundi pagi ini. Saya mengambil kesempatan menyeru semua pengundi di Johor termasuk pengundi muda keluar beramai-ramai.

"Perkara ini amat penting kerana kalau peratusan undi agak rendah ia tidak menggambarkan hakikat realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan," katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani.

Ahli Parlimen Pagoh itu yang tiba bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada jam 9.17 pagi tadi.

Menurut maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

DUN Maharani terdapat seramai 38,596 pengundi.

Berita berkaitan:

  • LANGSUNG Johor mengundi
  • Berita Harian X