Jumaat, 11 March 2022 | 6:36pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Gurauan rogol: Ain Husniza, bapa fail tuntutan balas terhadap guru, empat yang lain

KUALA LUMPUR: Pelajar, Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab, yang disaman seorang guru dalam isu dakwaan gurauan keterlaluan berkaitan perbuatan merogol, memfailkan tuntutan balas terhadap guru terbabit dan empat yang lain.

Kedua-dua plaintif memfailkan tuntutan balas mereka pada 4 Mac lalu dengan menamakan Khairul Nizam Sanuddin; Pengetua SMK Puncak Alam, Sarimah Mohammed Nor; Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Anismah M Noh; Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin; dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga kelima.

Defendan kedua hingga kelima disaman secara liabiliti vikarius ekoran tindakan guru itu, yang dinyatakan bertanggungjawab untuk mengurus tadbir kelakuan semua guru di sekolah berkenaan, termasuk memastikan segala peraturan dan piawaian yang ditetapkan dipatuhi.

Tuntutan balas itu difailkan di Mahkamah Sesyen Sivil Klang melalui firma guaman S N Nair.

Dalam tuntutan balas itu, Ain Husniza dan bapanya berkata, jenaka seksual berkenaan diungkapkan guru terbabit pada sesi pembelajaran bertajuk 'Serangan Seksual Dan Kelakuan Aksi Seksual, Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual, Punca dan Kesan Gangguan Seksual' kepada pelajar Kelas 5 Fitrah, yang pertama kali diadakan dengan bercampur jantina.

Plaintif berkata, jenaka itu diungkapkan dengan niat jahat oleh Khairul Nizam, yang mengetahui akan implikasinya terutamanya ia diungkapkan dalam bilik darjah dengan pelajar yang bercampur.

Mereka berkata , dalam sesi pengajaran itu Saiful Nizam dengan melulu tanpa apa-apa provokasi menyebabkan rasa malu dan kemarahan kepada setiap pelajar termasuk plaintif pertama (Ain Husniza) melalui jenaka terbabit.

Kata mereka, jenaka itu sangat keterlaluan sehingga melampaui batas kesusilaan yang mempunyai kesan untuk memupuk, mempromosikan dan menormalkan jenaka seksual dan menyinggung perasaan mengenai rogol.

"Defendan pertama yang diamanahkan tanggungjawab untuk menyampaikan pengajaran mengenai kesan dan pencegahan gangguan seksual, bertindak keterlaluan dan bertentangan dengan tugas yang diamanahkan serta sama sekali tidak dapat diterima dalam masyarakat bertamadun.

"Akibat daripada jenaka seksual itu, ia merosakkan psikologi dan menyebabkan plaintif pertama mengalami tekanan emosi dan kejutan yang teruk selain tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan persediaan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keadaan fikirannya yang tidak stabil.

"Plaintif pertama juga mengalami tekanan emosi yang teruk kerana pemisahan hubungan sosial dengan rakan sebayanya akibat daripada tingkah laku defendan pertama yang melampau dan keterlaluan serta terpaksa menjauhkan diri dari pelajar lain supaya tidak menimbulkan gangguan terhadap siasatan polis," kata defendan.

Sementara itu, Khairul Nizam yang mengajar selama 21 tahun di sekolah berkenaan melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 24 April tahun lalu, mendakwa sepanjang proses pembelajaran, kesemua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada Buku Teks Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 5.

Beliau menafikan membuat jenaka lucah mengenai rogol sepanjang sesi pembelajaran PJPK dan tiada galakan kepada perlakuan rogol serta menegaskan ia adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata bagi pemahaman dan pengajaran.

Dakwanya, sepanjang sesi pembelajaran itu, beliau menekankan kesan dan akibat gangguan seksual kepada pemangsa dan mangsa.

Menurutnya, pada hari sama, Ain Husniza menerbitkan video di dalam akaun TikTok milik remaja berkenaan yang mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Berita Harian X