Jumaat, 11 March 2022 | 4:11pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Fungsi kemanusiaan GLC diperluaskan

KUALA LUMPUR: Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, GDRN itu merangkumi skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

"Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan.

"Manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina

kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikiab ketika berucap menyempurnakan Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail Sabri berkata, dengan skop baharu korporat itu, GDRN akan menerajui usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC.

Katanya, ia sekali gus memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu.

"Justeru, pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta komuniti ibarat benih cengal yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

"Bagi tempoh jangka masa panjang, dapatlah kita menikmati manfaat benih ini yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai sebuah ekonomi yang "Makmur, Inklusif dan Mampan" bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata, GDRN yang ditubuhkan pada 2013 berhasil menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor antara tahun 2013 dan 2016.

"Dalam tempoh dua tahun sejak 2020, GDRN juga berjaya membantu lebih 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan kerajaan melebihi RM55 juta.

"Justeru, kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X