Jumaat, 11 March 2022 | 12:17pm
METMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama dan kedua) bagi kawasan perkapalan di laut China Selatan berkuat kuasa hari ini sehingga 13 Mac.- FOTO hiasan
METMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama dan kedua) bagi kawasan perkapalan di laut China Selatan berkuat kuasa hari ini sehingga 13 Mac.- FOTO hiasan

Amaran angin kencang, laut bergelora di kawasan perkapalan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama dan kedua) bagi kawasan perkapalan di laut China Selatan berkuat kuasa hari ini sehingga 13 Mac.

METMalaysia dalam kenyataan, hujan dan ribut petir turut dijangka berlaku di barat Semenanjung, pedalaman, pantai barat Sarawak serta pantai barat Sabah pada sebelah petang sehingga awal malam.

Ramalan itu berdasarkan analisis model METMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

"Bagi perairan Malaysia, ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak hari ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hampir 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil, katanya.

Selain itu, bagi perkapalan (kategori kedua) angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan utara Condore sehingga Ahad, 13 Mac.

"Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"(Kategori pertama) angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan selatan Condore, Reef North, Layang-Layang sehingga Ahad, 13 Mac," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan barat daya Phuket, Selat Melaka, Reef North, Palawan sehingga tengah hari Jumaat, 11 Mac.

"Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih," katanya.

Berita Harian X