Jumaat, 11 March 2022 | 10:19am
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Bekalan air di Kampung Cheras Baru pulih 4 pagi esok

KUALA LUMPUR: Kerja pembaikan paip pecah oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini, siap sepenuhnya pada jam 4.15 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna di kawasan yang terjejas setelah bekalan itu melalui ujian kualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di semua kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi esok," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

Katanya, pengguna perlu mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mengambil bekalan air daripada lori tangki ini.

"Air Selangor ingin menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Pengguna yang sudah mendapat bekalan air diharap menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," katanya

Katanya, orang ramai boleh merujuk di semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X