Jumaat, 11 March 2022 | 10:18am
Kesan runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2 Ampang petang semalam.
Kesan runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2 Ampang petang semalam.

Kejadian tanah runtuh di Malaysia sejak 2021 hingga kini

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara sejak tahun 2021 hingga kini.

3 Jan 2021: Seramai 14 peniaga gerai di Kampung Geliga di Hulu Chukai, Kemaman, Terengganu diarah menghentikan operasi selepas berlaku kejadian tanah runtuh di belakang deretan premis perniagaan mereka.

4 Jan 2021: Seorang pekerja kebun sayur warga Bangladesh hilang, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan.

5 Jan 2021: Dua buah rumah di Taman Gambang Damai, Kuantan, Pahang runtuh pada awal pagi dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan.

11 Jan 2021: Seramai 42 penduduk yang mendiami 12 rumah di Jalan Bukit Kempas 1/4, Taman Bukit Kempas, Johor Bahru, Johor diarah mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan mereka.

12 Jan 2021: Seorang nenek berusia 63 tahun bersama anak perempuannya bertindak pantas membawa keluar empat cucunya apabila sebahagian rumah mereka di Kampung Garung, Padawan, Sarawak KM 40 Jalan Puncak Borneo ditimbus tanah runtuh.

Dalam kejadian berasingan, dua rumah turut mengalami kerosakan akibat tanah runtuh di Kampung Annah Sadir, Padawan.

15 Jan 2021: Dua daerah di bahagian selatan Sarawak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia terpaksa bergelap selepas dua kejadian tanah runtuh mengakibatkan bekalan elektrik terputus di Bau dan Lundu.

20 Jan 2021: Tanah runtuh di Kilometer 20 Jalan Tamparuli-Ranau, Sabah kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu melibatkan kawasan parkir di Taman Kinabalu manakala Jalan utama di Paitan, Beluran pula mengalami tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan menyebabkan bangunan Jabatan Air Paitan tergelongsor.

17 Feb 2021: Sebanyak lapan rumah dan sebuah premis perniagaan telah musnah akibat runtuhan tebing sungai dekat Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan yang membabitkan seramai 97 penduduk di kawasan tersebut.

17 Julai 2021: Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya terjatuh ke dalam runtuhan tanah di Jalan Haji Baki, Kuching, Sarawak.

18 Ogos 2021: Runtuhan tanah pada lereng Gunung Jerai, Kedah dipercayai berlaku ekoran fenomena kepala air yang mengakibatkan banjir sehingga meragut enam nyawa.

15 Sept 2021: Hujan lebat yang berterusan sejak 12.30 tengah hari menyebabkan berlaku tanah runtuh di Jalan Segumau Madsiang, Jalan Penampang-Tambunan, Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Penampang.

16 Sept 2021: Seorang wanita tempatan maut akibat tertimbus dalam insiden tanah runtuh yang melanda rumahnya di Sungai Palas, Cameron Highlands, Pahang.

17 Sept 2021: Tiga rumah banglo dan 16 rumah bandar membabitkan 32 keluarga terjejas berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Kuala Lumpur namun ia tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Gambar fail, Sebahagian tembok penahan (retaining wall) dan Jalan di Lengkok Halia, Tanjung Bunga. - Foto BERNAMA
Gambar fail, Sebahagian tembok penahan (retaining wall) dan Jalan di Lengkok Halia, Tanjung Bunga. - Foto BERNAMA

1 Okt 2021: Sebahagian tembok penahan dan jalan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah, George Town, Pulau Pinang mengalami tanah runtuh sehingga menyebabkan sebuah kereta yang diparkir di kawasan itu terjunam ke dalam runtuhan tersebut.

22 Nov 2021: Seorang lelaki cedera manakala tiga rakannya terselamat selepas yang mereka naiki dihempap pokok tumbang akibat tanah runtuh di Tanah Rata, Cameron Highlands.

2 Dis 2021: Dua lelaki maut selepas kenderaan mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, KM 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Ipoh, Perak.

15 Dis 2021: Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk, Kuala Terengganu.

18 Dis 2021: Hujan lebat berterusan lebih 24 jam mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan dua rumah di Kampung Sungai Merab Hulu dekat Putrajaya menyebabkan penghuni terlibat dinasihat mengosongkan rumah mereka.

19 Dis 2021: Seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di sini terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dengan 24 daripadanya telah musnah sepenuhnya.

26 Dis 2021: Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak diarah mengosongkan premis itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran bangunan tersebut.

10 Mac 2022: Lima mangsa dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang membabitkan 15 rumah dan 10 kenderaan. – BERNAMA

Berita Harian X