Jumaat, 11 March 2022 | 7:08am

Mangsa terakhir tanah runtuh ditemui maut, SAR ditamatkan

AMPANG JAYA: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai, di sini, menemui mangsa terakhir pada jam 1.55 pagi tadi.

Mangsa kelima dijumpai yang juga penghuni sebuah rumah teres dua tingkat di situ, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Terdahulu pada jam 11.30 malam tadi, pasukan SAR berjaya menemui mangsa keempat, iaitu seorang kontraktor Air Selangor yang dilapor sedang menjalankan kerja penyelenggaraan ketika kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang.

Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata penemuan mangsa terakhir itu menjadikan jumlah mereka yang tertimbus ialah lima individu.

"Mangsa pertama ditemui selamat, manakala mangsa kedua yang juga isterinya dijumpai sudah meninggal dunia.

"Operasi SAR diteruskan sehingga membawa kepada penemuan tiga lagi mangsa lelaki yang juga disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya kepada media di lokasi kejadian.

Mohamad Farouk berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kemudian menjalankan operasi pemeriksaan terakhir selepas penemuan mangsa kelima tragedi itu.

"Untuk peringkat terakhir, sebelum operasi SAR ditamatkan, JBPM Selangor melakukan pemeriksaan teknik 'Flashing', iaitu pencarian menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Selangor.

"Langkah ini adalah untuk membolehkan pasukan penyelamat memastikan tiada lagi mangsa lain yang masih tertimbus tetapi tidak dikenal pasti pada peringkat awal," katanya.

Susulan itu, operasi SAR ditamatkan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Pasukan penyelamat membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - FOTO BERNAMA
Pasukan penyelamat membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - FOTO BERNAMA

Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Berikutan insiden terbabit, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengadakan kawalan penuh 24 jam bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini, selepas sebahagian besar penduduk disarankan berpindah.

Langkah itu bertujuan membolehkan pemeriksaan dilaksana bagi memastikan sama ada struktur tanah di lokasi kejadian benar-benar selamat atau sebaliknya.

Insiden tanah runtuh itu menyebabkan kerosakan 15 unit rumah teres dua tingkat dan 10 kenderaan yang tertimbus.

Dua daripada 15 kediaman berkenaan tertimbus sepenuhnya.

Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang tertimbus. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Operasi SAR di lokasi kejadian, malam tadi. - FOTO BERNAMA
Operasi SAR di lokasi kejadian, malam tadi. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X