Jumaat, 11 March 2022 | 1:47am
Angeozeel Andrew, saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang. - FOTO NSTP / AIZUDDIN SAAD
Angeozeel Andrew, saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang. - FOTO NSTP / AIZUDDIN SAAD

Dengar dentuman kuat sebelum lori rakan ditimbus tanah

AMPANG: Seorang petugas syarikat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) mendakwa ada mendengar dentuman kuat seakan-akan petir sebelum menyedari lori dinaiki rakannya ditimbus tanah runtuh.

Angeozeel Andrew, 21, berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat sewaktu dia bersama tiga rakan setugas lain termasuk A Mahendran, 37, yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian di tanah runtuh di Taman Bukit Permai, di sini, berlindung di dalam dua lori berasingan.

Mengulas kejadian, katanya ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di lokasi terbabit, hujan tiba-tiba melanda dan mereka tiada pilihan melainkan masuk ke dalam lori dan berlindung.

"Saya bersama seorang rakan masuk ke sebuah lori di bahagian hadapan, manakala Mahendran bersama seorang lagi rakan berada dalam lori berasingan yang terletak kira-kira 10 meter di belakang.

"Ketika sedang berehat itulah saya terdengar dentuman kuat seperti petir sebelum saya menoleh ke belakang dan melihat lori dinaiki Mahendran mereka ditimbus tanah.

"Saya bersama dua lagi rakan terus keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri, namun tidak melihat kelibat Mahendran keluar dari lori terbabit," katanya yang kemudian memanggil penghuni berhampiran supaya keluar daripada rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Angeozeel berkata, dia mengenali Mahendran yang berasal dari Teluk Intan, Perak sejak mula bekerja di syarikat itu setahun lalu.

Dalam kejadian petang semalam, lima mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 15 kediaman dan 10 kenderaan terjejas.

Sehingga kini, tiga mangsa sudah ditemui dengan dua daripadanya disahkan meninggal dunia.

Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan dua lagi mangsa termasuk Mahendran.

Berita Harian X