Jumaat, 11 March 2022 | 12:08am
Anggota polis membawa mayat kedua ditemui di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai, sebentar tadi. FOTO NSTP/ AIZUDDIN SAAD
Anggota polis membawa mayat kedua ditemui di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai, sebentar tadi. FOTO NSTP/ AIZUDDIN SAAD

Seorang lagi mangsa tanah runtuh disahkan maut

AMPANG: Seorang lagi mangsa kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, dekat Ampang, di sini, disahkan maut selepas mayatnya ditemui sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata mangsa ketiga kejadian tanah runtuh itu dibawa keluar jam 10.58 malam.

"Mangsa yang juga seorang lelaki ditemui pasukan penyelamat di kawasan luar rumah pertama yang musnah akibat tanah runtuh.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian sebentar tadi.

Sehingga kini, tiga mangsa kejadian tanah runtuh itu sudah ditemui dengan dua daripadanya disahkan meninggal dunia.

Sebelum ini, pasukan penyelamat dilapor menyelamatkan mangsa pertama jam 6.54 petang tadi dengan lelaki warga emas itu hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua yang juga isteri kepada mangsa pertama pula dikeluarkan jam 9.10 malam. Bagaimanapun wanita warga emas itu disahkan sudah meninggal dunia.

Kini, usaha mencari dan menyelamat diteruskan untuk mengesan dua lagi mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus.

Mohamad Farouk memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat berdepan cabaran untuk mengesan dua lagi mangsa yang dipercayai masih tertimbus.

"Kesukaran yang kita alami adalah kedudukan mangsa tidak berada dalam sasaran pencarian kerana kediaman mereka musnah teruk semasa tanah runtuh dan mangsa dipercayai tertimbus sewaktu cuba lari menyelamatkan diri," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dua mangsa yang masih tetrtimbus itu dipercayai membabitkan penghuni rumah dan seorang pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan Air Selangor.

"Kita turut menggunakan anjing pengesan (K9) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat," katanya.

Dalam kejadian petang tadi, tanah runtuh menyebabkan 15 kediaman terkesan dengan dua daripadanya tertimbus sepenuhnya, selain menjejaskan 10 kenderaan.

Berita Harian X