Khamis, 10 March 2022 | 5:38pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

MOSTI bangunkan R&D benih padi IS22

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan benih padi berkualiti tinggi dikenali IS22.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penghasilan benih padi melalui teknologi nuklear itu selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta supaya varieti padi baharu yang tidak rosak apabila ditenggelami banjir serta tidak banyak menggunakan air, dibangunkan.

"Arahan Perdana Menteri itu satu perkara amat penting bagi tahun ini. Ia juga langkah kepada penambahbaikan prestasi benih padi yang dikeluarkan sebelum ini iaitu IS21.

"Jadi, MOSTI bersama Agensi Nuklear Malaysia sudah memulakan R&D bagi menghasilkan benih padi baharu yang kita akan namakan sebagai IS22," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan MOSTI bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bekerjasama membangunkan dua varieti padi baharu yang tidak rosak apabila ditenggelami banjir serta tidak menggunakan air yang banyak.

Katanya, langkah itu bukan sahaja mampu mengurangkan kerugian ditanggung pesawah serta petani apabila bencana banjir menenggelamkan sawah padi, malah boleh membantu mereka menjimatkan kos.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, bencana banjir memberi kesan buruk kepada sektor penanaman padi negara.

Justeru, katanya, Perdana Menteri mengarahkan MOSTI membangunkan R&D supaya padi tidak rosak dan musnah ketika bencana itu berlaku.

"Jadi kita mahu membangunkan benih padi yang berdaya tahan apabila tenggelam di dalam air.

"Malah, Perdana Menteri meminta kita bekerjasama dengan MARDI supaya kita boleh menanam padi ibarat menanam sayur, iaitu bukan di kawasan jelapang. Mungkin boleh menggunakan teknik siraman dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, MOSTI juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan terutama membabitkan 'remote sensing' bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk penanaman padi terbabit.

"Kita mahu memastikan jika musim kemarau, padi itu boleh hidup menggunakan siraman air sahaja.

"Jadi ini semua adalah kajian yang sedang dilakukan," katanya.

MOSTI sebelum ini memperkenalkan teknologi benih padi IS21 yangmembantu meningkatkan produktiviti padi dengan anggaran hasil 40 hingga 67 peratus lebih tinggi berbanding purata pengeluaran kebangsaan.

Padi IS21 dinamakan sempena nama Perdana Menteri iaitu IS adalah singkatan bagi nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021.

Varieti Padi IS21 telah didaftarkan di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 Jabatan Pertanian melalui Certificate of Registration of New Plant Variety and Grant of Breeder's Right (Nombor Pendaftaran: PBR 0156 (NMR152).

Berita Harian X