X
Khamis, 10 March 2022 | 4:35pm

NGO bantu bawa balik undi pos dari Singapura

JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,021 undi pos dari rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibawa sukarelawan 1thirdmedia, tiba di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, jam 1.50 petang tadi.

Penghantaran undi pos itu hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 1thirdmedia serta Undi18, yang dilakukan secara manual menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat.

Penghantaran pertama kertas undi pos itu dilakukan Ahad lalu, dengan penghantaran kedua semalam, manakala penghantaran terakhir kertas undi pos menerusi VTL darat adalah esok.

Sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A Jaz, 36, yang juga seorang jurutera yang bekerja di Singapura berkata, inisiatif itu diambil sebagai pemudah cara bagi memastikan setiap kertas undi pos sampai sebelum 12 Mac ini, bagi membolehkan ia tidak terlewat sampai kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya (RO) setiap kawasan.

"Seramai 39 sukarelawan 1thirdmedia ditugaskan mengutip kertas undi pos membabitkan lima pusat pengumpulan di Singapura membabitkan kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan.

"Setakat ini kira-kira 5,000 kertas undi sudah dihantar kepada NGO Undi18 sebelum mereka membuat penyisihan esok dan akan dihantar kepada RO di setiap pusat pengundian terbabit.

"Inisiatif ini dilaksanakan kami sebagai tanggungjawab bagi memastikan semua kertas undi pos tidak terlewat sampai kepada RO seperti yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) menyebabkan ia tidak dapat dikira.

"Inisiatif ini juga adalah sejarah buat negara kerana buat kali pertama ia dibawa menerusi VTL darat dengan menaiki bas berikutan sempadan kedua negara masih ditutup," katanya ketika ditemui.

Sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada RO berkaitan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi Sabtu ini.

Sementara itu, sukarelawan Undi18, Mandeep Singh, berkata mereka akan mula membuat penyisihan undi pos kepada setiap kawasan DUN esok, apabila menerima penghantaran yang ketiga dan terakhir.

"Penyisihan undi pos bagi membolehkan kita menghantar undi pos diterima kepada RO kawasan DUN masing-masing dan kita jangkakan, penghantaran kertas undi kepada RO berkaitan akan bermula esok juga," katanya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan pihak Pos Malaysia dalam urusan penghantaran kertas undi, Borang 2, sampul A dan B kepada pengundi yang memohon sebagai undi pos bagi PRN Johor Ke-15.

Katanya, ia selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

"Namun bagi tujuan penghantaran semula undi pos yang dialamatkan kepada Pegawai Pengurus (RO), adalah menjadi tanggungjawab pengundi tanpa berlengah-lengah menghantarnya semula dengan apa jua cara kerana kertas undi pos hendaklah diterima RO tidak lewat dari jam 5 petang pada hari mengundi.

Sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A. Jaz, 36 (kanan), menyerahkan beg yang berisi undi pos dari rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kepada Pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Undi 18, Qyira Yusri (tengah), dan Mandeep Singh, untuk disisihkan mengikut DUN sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A. Jaz, 36 (kanan), menyerahkan beg yang berisi undi pos dari rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kepada Pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Undi 18, Qyira Yusri (tengah), dan Mandeep Singh, untuk disisihkan mengikut DUN sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X