Khamis, 10 March 2022 | 3:03pm

Pelancong asing kena muat turun aplikasi MySejahtera

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan protokol ketibaan bagi pengembara yang tiba di Malaysia apabila sempadan antarabangsa negara dibuka bermula 1 April ini.

Menurut infografik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, protokol pertama adalah sewaktu sebelum pengembara berlepas dari negara mereka perlu memuat naik dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.

Pengembara perlu mengisikan borang prapelepasan di MySejahtera di ruangan ikon 'pengembara'.

"Dua hari sebelum berlepas pengembara yang pernah dijangkiti perlu menjalani saringan sama ada Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau Kit ujian pantas (RTK) Antigen profesional perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari sebelum berlepas.

"Mereka juga perlu membeli insurans COVID-19 dan perjalanan," katanya yang menjelaskan protokol ini akan bermula 1 April ini.

Bagi protokol sejurus tiba di Malaysia, pemeriksaan suhu di kalangan pengembara akan dilakukan.

"Ujian RTK-Ag Profesional dilakukan di fasiliti swasta di lapangan terbang sejurus tiba atau di fasiliti swasta ujian apabila meninggalkan sempadan dalam masa 24 jam sebelum masa ketibaan," katanya.

Perdana Menteri kelmarin, menyatakan kerajaan memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Katanya, keputusan ini dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Berita Harian X