Khamis, 10 March 2022 | 1:19pm
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). - NSTP/Amir Mamat
Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). - NSTP/Amir Mamat

Bekas SUK Melaka dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM

MELAKA: Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu menggantikan Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, UTeM memaklumkan pelantikan untuk tempoh tiga tahun itu dipersetujui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selaras dengan peruntukan Seksyen 17(1)(a) Perlembagaan Universiti.

Hasim, 61, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Sains Politik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Diploma Pengurusan Awam (DPA) dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), selain bergraduat peringkat pengajian tertinggi iaitu Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Strategik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada 1 Januari 1989 sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan, sebelum diberi tanggungjawab sebagai Pengarah di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri pada November 2012.

Beliau kemudian dilantik menjadi SUK Melaka pada 1 Februari 2019 sebelum bersara wajib pada 29 Julai 2021.

Pembabitan beliau juga sinonim dengan UTeM apabila pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UTeM sejak April 2019 sehingga Julai tahun lalu.

Sehubungan itu, UTeM merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan terbabit dan percaya dengan kepemimpinan, ketokohan, kepakaran serta pengalaman luas yang dimiliki, beliau mampu menerajui dan memimpin UTeM ke persada gemilang selaku institusi pengajian tinggi teknikal yang terus cemerlang di pentas dunia.

Pada masa sama, UTeM turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Tajuddin atas jasa dan sumbangan hebat diberikan kepada universiti ini sejak Februari 2016 sehingga bulan lalu.

Berita Harian X