Khamis, 10 March 2022 | 12:45pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Sistem saliran, perparitan ibu negara perlu disemak semula - Pakar

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa dan kerajaan perlu menyemak semula sistem saliran dan perparitan di sekitar ibu negara untuk melihat sama ada ia masih mampu menampung hujan lebat yang kerap berlaku ketika ini.

Pakar perancangan bandar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof Madya Dr Hayati Shafii, berkata sistem perparitan dan saliran menjadi aspek utama dalam pembangunan sesuatu kawasan dan ia perlu sentiasa dinaik taraf jika kemajuan tambahan berlangsung.

Katanya, ibu negara yang sentiasa mengalami perubahan pesat berkemungkinan menggunakan sistem perparitan dan saliran yang tidak lagi mampu menampung pembangunan yang ada, sekali gus menyebabkan banjir kilat mudah berlaku jika hujan lebat.

"Sistem perparitan dan saliran yang ada di ibu negara mungkin memadai untuk pembangunan lalu tetapi kita melihat bagaimana kepesatan pembangunan berlaku di Kuala Lumpur pada setiap masa dan adakah sistem sedia ada itu memadai untuk menampung keperluan hari ini.

"Apabila pembangunan dan pembinaan pesat berlaku, kawasan bumi akan lebih banyak ditutup maka bila hujan lebat, sistem serapan secara semula jadi oleh tanah tidak akan berfungsi sebaiknya.

"Lebihan air yang sepatutnya diserap secara semula jadi ini akan masuk ke dalam sistem perparitan dan saliran yang ada, sekali gus ia memberi lebih tekanan kepada sistem itu.

"Air akan dibawa ke kawasan lebih rendah dan lembah, biasanya yang menjadi kawasan perumahan dan penempatan yang pastinya menyebabkan banjir kilat berlaku. Lebih buruk, apabila sistem perparitan ini tersumbat," katanya kepada BH, hari ini.

Hayati yang juga Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Jabatan Pengurusan Pembinaan turut berkata, 'pocket development' di sekitar ibu negara juga menyumbang kepada tekanan ke atas kemampuan sistem perparitan dan saliran sedia ada.

"`Pocket development' ini berlaku apabila adanya pembangunan tambahan atau baharu dalam tempoh tertentu di sesetengah kawasan. Sebagai contoh, 10 tahun lalu satu kawasan dibangunkan dan 10 tahun kemudian pembangunan seterusnya muncul dan kawasan yang dibangunkan itu 'ditambak' dengan lebih tinggi. Muncul pembangunan baharu lain, ia juga semakin tinggi.

"Apa akan jadi kepada kawasan pembangunan awal tadi? Jika saliran seperti asal atau tidak mesra alam, akan terjadilah banjir kilat. Mereka yang terkesan pastinya yang berada di kawasan pembangunan asal," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu tindakan segera termasuk kajian secara menyeluruh perlu dilaksanakan pihak berkuasa memandangkan hujan lebat yang berlangsung hanya dalam tempoh sejam atau dua jam boleh mengakibatkan banjir kilat.

Hayati berkata, semua pihak khususnya kerajaan dan pemaju ketika ini perlu duduk semeja untuk melihat semula secara menyeluruh sistem perparitan dan saliran Kuala Lumpur.

"Secara peribadi saya tidak tahu adakah sistem sedia ada itu mencukupi untuk menampung kepadatan pembangunan hari ini tetapi apabila keadaan cuaca yang kerap hujan dan fenomena perubahan cuaca yang diperkatakan hari ini, ia adalah sesuatu yang penting untuk ia disemak semula.

"Apabila kerap berlaku banjir, kita perlu melihat apakah sistem itu sudah ditambah baik dengan efektif," katanya.

Berita Harian X