Khamis, 10 March 2022 | 11:11am
Perang bendera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini. - Foto fail BERNAMA
Perang bendera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini. - Foto fail BERNAMA

Keluar mengundi ikut masa MySPR Semak

JOHOR BAHRU: Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan melalui aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

Katanya, seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini, manakala seramai 21,407 orang adalah pengundi awal dan 36,729 orang sudah mengundi secara pos.

"SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan itu.

"Namun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ikmalrudin berkata, pengundi yang mengetahui maklumat pengundian disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan.

Beliau juga menyarankan pengundi supaya membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi terlebih dahulu melalui saluran portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPR Semak atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

"Apabila membuat semakan, catat dan simpan maklumat mengenai pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

"Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Jangan lupa bawa kad pengenalan dan pastikan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing," katanya.

Berita Harian X