Rabu, 9 March 2022 | 8:40pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pelitup muka perlu dipakai hingga virus kurang mudarat

KUALA LUMPUR: Peraturan pemakaian pelitup muka dijangka dikekalkan sehinggalah tahap serius jangkitan COVID-19 menurun sehingga ia tidak lagi berbahaya dan hampir sama seperti demam selsema biasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kajian menunjukkan kebanyakan wabak coronavirus sebelum ini akan bertukar menjadi tidak berbahaya selepas tempoh tertentu.

Jelasnya, virus COVID-19 masih belum sampai ke tahap itu, sekali gus pemakaian pelitup muka dilihat antara langkah pertahanan yang masih penting untuk melindungi orang ramai daripada dijangkiti wabak itu.

"Ada banyak coronavirus sebelum ini yang masih menular ketika ini, cuma kesan jangkitannya menjadi kurang mudarat serta kebanyakan orang sudah imun terhadapnya, atau varian virus tidak menyebabkan penyakit yang teruk.

"Kita harap akan ada varian COVID-19 yang mengurangkan keseriusan jangkitan, namun itu di luar kawalan kita kerana ia membabitkan proses evolusi virus.

"Kita mengkaji pelbagai jenis coronavirus, (yang menjadi) demam selsema biasa sebelum ini dan ia bertukar kepada sesuatu yang tidak berbahaya kepada kebanyakan orang ramai.

"Sebelum kita sampai ke tahap itu, Kementerian Kesihatan berpandangan masih perlukan pelitup muka," katanya pada program 'Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (KLBC) - Pertemuan Komuniti Perniagaan Dengan Menteri Kesihatan' di sini, hari ini.

Pada program itu, Khairy hadir sebagai ahli panel bersama-sama Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong; Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Suresh Kumar Chidambaram dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Dr Kalaiarasu M Peariasamy.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mempersoalkan Khairy mengapa syarat pemakaian pelitup muka masih dikekalkan, sedangkan beberapa negara luar sudah mula menamatkan peraturan itu.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan pemakaian pelitup muka masih perlu kerana Malaysia belum dalam fasa endemik dan masih berada dalam zon pandemik, selaras Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kita baru ingin memulakan proses peralihan ke peringkat endemik. Pengisytiharan endemik juga perlu berpandu kepada kriteria digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan syarat pelaksanaan ujian COVID-19 di pintu masuk negara juga akan dicadang untuk ditamatkan sekiranya kadar positif pelawat yang masuk ke Malaysia adalah rendah.

Sebelum ini, katanya, kadar positif bagi pelawat yang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah sekitar lima hingga enam peratus, namun ia melonjak selepas umrah dibenarkan.

"Kita akan perhatikan kadar positif ini dan jika ia berada pada tahap yang boleh diterima, syarat pelaksanaan ujian di pintu masuk negara boleh ditamatkan," katanya.

Berhubung peralihan ke peringkat endemik, Khairy berkata antara faktor yang meyakinkan kerajaan untuk melaksanakannya bermula 1 April depan, adalah penurun kadar kematian kes COVID-19 yang ketara ketika ini, sehingga sama dengan penyakit endemik yang lain.

"Ketika ini, kadar kematian kes COVID-19 adalah sekitar 0.2 peratus. Denggi adalah endemik di Malaysia. Kadar kematian kes denggi sekitar 2017 adalah 0.2 peratus.

"Pada hari tertentu, kadar kematian kes COVID-19 adalah sama dengan denggi. Errinya, kadar kematian kes COVID-19 sudah menurun hingga sama dengan tahap penyakit endemik yang lain," katanya.

Berita Harian X