Rabu, 9 March 2022 | 7:16pm

JPNT rampas 37 pukat pari penyebab kematian penyu

Kuala Terengganu: Penggunaan pukat pari di kalangan nelayan dikatakan menjadi penyebab kematian penyu yang serius di negeri ini.

Justeru, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melancarkan Ops Penyu 2 bagi menahan nelayan yang menggunakan pukat berkenaan.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat, berkata penggunaan pukat pari adalah menyalahi Akta Perikanan 1985 kerana boleh menyebabkan penyu terperangkap dan mati lemas di dalam pukat.

Beliau berkata, pihaknya melakukan beberapa siri operasi di pesisir pantai negeri ini bagi mengesan penggunaan pukat pari di kalangan nelayan.

"Menerusi Ops Penyu 2, kita berjaya merampas 37 pukat pari di dua daerah iaitu 35 di Dungun dan dua di Kemaman," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pukat pari ialah pukat tangsi insang bersaiz 25.4 sentimeter ke atas dan jika dipasang di bawah air, ia cenderung menyebabkan penyu tersangkut.

"Kita nasihatkan nelayan supaya hentikan guna pukat pari kerana ia satu kesalahan dan boleh mengancam keselamatan penyu," katanya.

Jika sabit kesalahan, pemilik pukat pari boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat (tiga dari kanan) memeriksa pukat pari yang dirampas dalam Ops Penyu 2 di Marang. - Foto NSTP / Ghazali Kori
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat (tiga dari kanan) memeriksa pukat pari yang dirampas dalam Ops Penyu 2 di Marang. - Foto NSTP / Ghazali Kori
Berita Harian X