Rabu, 9 March 2022 | 2:03pm

Pengembara lengkap vaksin, individu bawah 17 tahun tak perlu kuarantin

KUALA LUMPUR: Pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19 serta individu berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin susulan pelaksanaan fasa peralihan endemik mulai 1 April ini.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi kanak-kanak dan remaja, golongan terbabit masih perlu menjalani ujian RTK antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.

Bagi pengembara yang menjalani kuarantin, katanya sebagai contoh individu yang tiba ke negara ini pada 29 Mac, maka tempoh kuarantin mereka akan tetap berakhir 1 April.

Beliau berkata, mereka yang belum lengkap vaksinasi atau tiada langsung vaksinasi, masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari selain mematuhi syarat ditetapkan Malaysia sebaik menamatkan tempoh kuarantin itu.

"Individu belum lengkap vaksinasi itu mesti mengikut syarat ditetapkan kerajaan, contohnya tidak boleh 'dine-in' (makan) di restoran kerana tidak menerima vaksinasi lengkap.

"Bagi pengembara yang dikecualikan daripada menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, individu terbabit perlu memuat naik bukti pengecualian diberikan pegawai perubatan ke dalam aplikasi MySejahtera," katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memperkenalkan dan melancarkan portal covidprotocol.gov.my mulai hari ini yang akan memuatkan protokol individu berkaitan COVID-19.

Semua protokol kesihatan dan membabitkan pengembara, katanya akan dimasukkan ke dalam portal ini dan KKM akan mengemas kini dari semasa ke semasa.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan fasa peralihan endemik negara mulai 1 April ini, dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diperluas di semua peringkat.

Pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19 serta individu berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin. - Foto hiasan
Pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19 serta individu berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi, tidak perlu menjalani kuarantin. - Foto hiasan
Berita Harian X