Rabu, 9 March 2022 | 12:01pm

MOF tambah baik akta pantau, cegah kiriman wang tidak sah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) sedang dalam proses menambah baik Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) bagi meningkatkan pemantauan serta mencegah kegiatan kiriman wang yang tidak sah, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata, langkah meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dirangka bagi memastikan tindakan lebih cekap dan punitif terhadap kegiatan kiriman wang oleh pengendali yang tidak sah atau tidak berdaftar.

"Setakat akhir Disember 2021, sebanyak 42 pengendali pengiriman wang bukan bank telah dilesenkan bawah Akta 731 yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang melalui 1,410 premis di seluruh negara dan dalam talian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berhubung pemantauan kerajaan terhadap kegiatan kiriman wang yang tidak diisytihar atau tidak melalui pengirim wang sah.

Yamani Hafez berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan aktiviti pengawasan terhadap pengendali pengiriman wang yang tidak sah, serta menambah baik keupayaan pemantauan menggunakan analisis data bagi mengenal pasti risiko dalam industri dan mengesan transaksi mencurigakan.

"Sebagai suatu langkah pengawalan, BNM juga menetapkan had transaksi bagi pengiriman wang keluar oleh seseorang individu tidak boleh melebihi RM50,000 setiap hari.

"Di samping itu, pengendali terbabit juga dikehendaki mengemukakan statistik transaksi secara berkala kepada BNM," katanya. – BERNAMA

Yamani Hafez pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Yamani Hafez pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X