Selasa, 8 March 2022 | 7:01pm
Tan Sri Idrus Harun
Tan Sri Idrus Harun

Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara

PUTRAJAYA: Tan Sri Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara, untuk tempoh setahun berkuat kuasa Ahad lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam kenyataan hari ini berkata, selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula Idrus, 67.

Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, penasihat undang-undang di Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Cara Negara dan Hakim Mahkamah Rayuan.

Pelantikan beliau sebelum ini bagi menggantikan Tan Sri Tommy Thomas, yang meletak jawatan pada 28 Feb 2020, selepas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong, selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikan semulanya, Idrus berkata, beliau akan menjalankan tugas dan melaksanakan fungsinya mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

"Menjunjung kasih Tuanku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan kerana menyambung tempoh perkhidmatan saya selama setahun lagi," katanya kepada BERNAMA melalui pesanan WhatsApp.

Berita Harian X