X
Selasa, 8 March 2022 | 5:46pm
Jalan Kuchai Lama berdebu ekoran banjir kilat yang di kawasan itu semalam yang merosakkan kenderaan dan perkakas perniagaan - Foto NSTP/Amirul Johari
Jalan Kuchai Lama berdebu ekoran banjir kilat yang di kawasan itu semalam yang merosakkan kenderaan dan perkakas perniagaan - Foto NSTP/Amirul Johari

Tergamam air naik terlalu pantas

KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang melanda sebahagian kawasan perniagaan di Kuchai Entrepreneurs Park, Jalan Kuchai Lama di sini, semalam adalah kali pertama sejak kawasan itu dibangunkan hampir 20 tahun lalu.

Banjir kilat yang berlaku pantas itu menyebabkan pemilik perniagaan di situ tergamam dan hanya mampu melihat kedai mereka dinaiki air apabila paras air meningkat dengan terlalu mendadak.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar peniaga mengalami kerugian hingga mencecah jutaan ringgit kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda selepas kawasan itu dinaiki air sehingga hampir satu meter.

Tinjauan BH di lokasi hari ini, mendapati pemilik perniagaan bersama pekerja sibuk membersihkan premis perniagaan masing-masing yang dipenuhi dengan lumpur serta membasuh barangan yang boleh diselamatkan.

Antara yang paling terjejas adalah sebuah syarikat pembekal perkakas pembinaan yang menjalankan perniagaan di lima lot kedai di kawasan perniagaan itu apabila berdepan kerugian kira-kira RM1 juta akibat banjir kilat semalam.

Menurut Pengurus Jualannya, Rupert Chui, 48, beliau dan pekerja tidak mampu berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan lima kenderaan serta stok barangan serta perkakas pejabat kerana paras air naik dengan mendadak.

"Dalam tempoh lima saat, air naik mendadak lebih kurang jam 3.30 petang. Siapa sangka akan berlaku banjir di kawasan ini, kerana syarikat sudah beroperasi 30 tahun dan ini kali pertama kawasan ini berlaku banjir.

"Tidak pernah terfikir untuk ambil insurans perlindungan banjir kerana tak sangka kawasan ini akan banjir dan syarikat hanya dilindungi insurans kebakaran. Perkara ini jadi pengajaran dan ternyata kami perlukan insurans perlindungan banjir selepas ini," katanya.

Tambahnya, beliau meminta kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk meneliti punca kejadian ini kerana ia mungkin berpunca daripada masalah sistem perparitan yang tidak seimbang dengan pembangunan di kawasan ini.

Rupert berkata, air banjir bersama lumpur yang melanda kawasan itu surut kira-kira jam 5 petang, dan syarikatnya menganggarkan perniagaan mengalami kerugian mencecah RM1 juta akibat kejadian itu.

Pendapat sama turut dikongsi oleh seorang pemilik poliklinik di situ, Dr Tan Kee Leng yang perniagaannya terjejas akibat banjir kilat semalam dan berdepan kerugian puluhan ribu ringgit.

Katanya, selepas hampir 20 tahun membuka klinik di sini, ini adalah kali pertama kawasan ini dilanda banjir kilat yang teruk dan keadaan semalam amat kelam kabut.

"Ketika kejadian, saya tiada di sini dan klinik dikendalikan seorang lagi doktor yang juga rakan kongsi bersama empat kakitangan, semalam.

"Saya diberitahu banjir melimpah dari laluan utama (Jalan Kuchai Lama) sedikit demi sedikit lebih kurang jam 3.30 petang sebelum naik mendadak sehingga masuk ke dalam klinik dalam tempoh tidak sampai 10 saat," katanya.

Katanya, petugas klinik tidak sempat berbuat apa-apa kerana paras air mendadak sehingga menyebabkan banyak barangan elektrik, perabot, termasuk ubat-ubatan serta mesin ultrabunyi di kliniknya rosak.

Petugas klinik Dr Tan Kee Leng membersihkan premis mereka yang dinaiki banjir kilat di Kuchai Entrepreneurs Park, Jalan Kuchai Lama - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar
Petugas klinik Dr Tan Kee Leng membersihkan premis mereka yang dinaiki banjir kilat di Kuchai Entrepreneurs Park, Jalan Kuchai Lama - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar

Tambah Dr Kee Leng, kejadian ini mungkin berpunca daripada masalah perparitan dan mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah segera menangani apa sahaja puncanya bagi mengelak kejadian sama berulang.

Begitu juga dengan seorang peniaga kedai bateri kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Edward, katanya pelbagai pembangunan termasuk pembinaan kondominium, pusat perniagaan dan laluan lebuh raya di kawasan ini mungkin menjadi faktor.

"Mungkin ada masalah pada sistem perparitan, yang mana ia tidak selari dengan pembangunan yang berjalan di kawasan ini.

"Pada ketika ini, banyak projek-projek pembangunan sedang berjalan di sini, mungkin ia menyumbang kepada masalah banjir kilat yang berlaku, semalam," katanya.

Pekedai memeriksa kerosakan dalam kedainya di Kuchai Entrepreneurs Park yang dilanda banjir semalam - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar
Pekedai memeriksa kerosakan dalam kedainya di Kuchai Entrepreneurs Park yang dilanda banjir semalam - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar

Berita Harian X