Selasa, 8 March 2022 | 11:25am

Addy Kana didenda RM10,000 sebab tidak lapor penguat kuasa korup

SHAH ALAM: Ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan tidak melaporkan permintaan suapan kepada pihak berkuasa, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Rozilah Salleh selepas tertuduh Zaidi, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus dikemukakan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa tidak melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong, Selangor, pada Julai 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(4) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja dengan ahli perniagaan berunsur aktiviti tidak bermoral dan perjudian, berjumpa pegawai penguat kuasa di hotel berkenaan pada Julai 2019.

Dalam pertemuan itu, pegawai meminta suapan wang tunai RM110,000 sebulan bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas majikannya dan sehingga kini tertuduh tidak melaporkan permintaan itu kepada mana-mana pegawai SPRM atau polis.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab yang mengendalikan kes memohon hukuman denda maksimum untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam bela tertuduh, Effa Azuin Aidrul Hisham merayu supaya hukuman denda sahaja dikenakan kerana isteri tertuduh dalam pantang selepas melahirkan anak kelima dan tertuduh menjaga bapa berusia 74 tahun, selain pengakuan salahnya itu juga menjimatkan masa mahkamah.

Selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta rayuan peguam, Rozilah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 terhadap tertuduh.

Rozilah berkata, perbuatan tidak melapor permintaan suapan adalah satu kesalahan serius dan sekiranya dilaporkan ia dapat mengekang jenayah berkenaan berleluasa.

"Kalau ada orang minta suapan, kamu kena laporkan. Tapi disebabkan kamu mengaku bersalah, maka mahkamah pertimbangkan tiada hukuman penjara. Saya ucapkan terima kasih kerana mengaku salah," katanya.

Difahamkan, SPRM juga kini dalam proses permohonan melucutkan aset tertuduh bernilai RM1 juta.

Ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana. - NSTP/Faiz Anuar
Ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X