KUALA LUMPUR: Hujan lebat secara berterusan petang tadi, menyebabkan enam negeri dilanda banjir kilat, hingga menyebabkan hampir 2,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Banjir kilat itu berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Sebanyak tujuh PPS dibuka bagi menempatkan 746 mangsa selepas lima daerah di Selangor mengalami banjir kilat petang tadi.
Dua PPS dibuka di Gombak, bagi menempatkan 524 mangsa banjir membabitkan 119 keluarga, manakala satu PPS di Petaling merekodkan 222 mangsa banjir daripada 48 keluarga.
Jumlah mangsa banjir membabitkan empat lagi PPS di Petaling masih dalam proses bancian.
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebanyak dua PPS dibuka menempatkan 919 mangsa banjir membabitkan 224 ketua isi rumah (KIR).
Ia susulan kejadian banjir di Jalan Kuchai Lama, Kampung Periuk dan Kampung Pasir.
Sementara itu di Perak, seramai 186 mangsa membabitkan 30 keluarga dipindahkan ke dua PPS.
Daerah di negeri itu yang terkesan banjir ialah Hilir Perak membabitkan Batu 7 ½ Lorong Mesra dan Muallim (Kampung Berop).
Sebuah PPS dibuka di Negeri Sembilan membabitkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga.
Di Johor pula, tiga daerah terkesan banjir iaitu Johor Bahru (Kampung Muafakat), Kulai (Kampung Separa dan Kampung Pertanian) serta Kluang, tetapi tiada PPS dibuka di negeri berkenaan setakat jam 10 malam tadi.
Satu daerah di Melaka turut mengalami banjir kilat tetapi tiada PPS dibuka atau mangsa dipindahkan.
Walaupun jumlah mangsa yang dipindahkan tinggi, namun masa sama banjir yang melanda juga cepat surut, membolehkan penduduk yang berpindah ke PPS pulang ke rumah masing-masing.