Isnin, 7 March 2022 | 10:06pm
Anggota Penyelamat melakukan pemeriksaan kawasan banjir di Kampung Baru. - NSTP/Fathil Asri
Anggota Penyelamat melakukan pemeriksaan kawasan banjir di Kampung Baru. - NSTP/Fathil Asri

KWP, DBKL bincang selesai isu banjir

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mencari penyelesaian terbaik jangka pendek, sederhana dan panjang berhubung isu banjir teruk di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata beliau dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memandang serius kejadian berkenaan yang berlaku terlalu pantas petang tadi, namun ia bukan alasan untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Jalaluddin berkata, beliau akan menjawab isu berkenaan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

"Berdasarkan analisis model Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), tiada sebarang ramalan cuaca signifikan dijangka berlaku dalam tempoh ramalan pada setiap kali ia dilakukan.

"Bagaimanapun, ramalan cuaca yang dilakukan oleh pihak MET memberitahu bahawa hujan dan ribut petir dijangka berlaku di sekitar barat Semenanjung untuk beberapa hari ini.

"Ternyata ramalan berkenaan tepat. Bandar raya Kuala Lumpur hujan lebat hari ini dan ia mengakibatkan air mula naik di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini. Malangnya, saya melihat laporan media rasmi dan media sosial, terdapat kenderaan ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kiri) dan Datuk Seri Jalaluddin Alias. - Foto NSTP
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kiri) dan Datuk Seri Jalaluddin Alias. - Foto NSTP

Terdahulu, beberapa kawasan sekitar Lembah KIang termasuk ibu kota di sini, mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam petang tadi.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan di Facebook, dipetik memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.

Banjir yang melanda menyaksikan ribuan kereta yang letakkan di parkir terbuka dan bawah tanah dalam bangunan sekitar ibu kota ini turut ditenggelami banjir.

Berita Harian X