SHAH ALAM: Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini bagi menempatkan mangsa banjir setakat jam 8.30 malam ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata lapan PPS dibuka di Dewan Camelia Seksyen 10 Putra Heights, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman dan Dewan Puchong Jaya.
Selain itu, katanya, PPS turut dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35.
"Setakat ini, hampir 300 mangsa banjir terdiri daripada 56 keluarga ditempatkan di lapan PPS ini," katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beberapa video mengenai banjir kilat akibat hujan lebat tular di media sosial. Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak jam 3 petang tadi.