Isnin, 7 March 2022 | 9:09pm
Pasukan penyelamat sedang menyelamat dan memindahkan penduduk ke PPS yang kediaman mereka dilanda banjir di sekitar Selangor yang dilanda banjir. - Foto ihsan JBPM
Pasukan penyelamat sedang menyelamat dan memindahkan penduduk ke PPS yang kediaman mereka dilanda banjir di sekitar Selangor yang dilanda banjir. - Foto ihsan JBPM

300 mangsa banjir di pusat pemindahan Sri Kundang

KUALA LUMPUR: Kampung Melayu Sri Kundang, dekat Sungai Buloh, dinaiki air setinggi 1.2 meter akibat banjir menyebabkan 300 penduduk membabitkan 54 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah dewan di Sri Kundang, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata PPS di Dewan Pusat Khidmat Dewan Negeri (PKDN) Kuang dekat kawasan kejadian pula akan menempatkan mangsa dan keluarga positif COVID-19.

Katanya, jumlah individu berkenaan sedang dikemas kini.

"Di Taman Sri Langkas dekat Cyberjaya, anggota bomba turut menyelamatkan seorang wanita berusia lingkungn 60-an yang lumpuh menggunakan sebuah bot, selepas kawasan itu dinaiki air setinggi 0.9 meter.

"Kebanyakan penduduk berkenaan juga sudah keluar sendiri ke tempat lebih selamat. Keadaan turut terkawal di lokasi lain seperti Jalan Masjid Kampung Gombak Kuang; Sieramas, Sungai Buloh; Kampung Sungai Merab, Cyberjaya; Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 2 dan Kampung Melayu Sungai Buloh.

"Pekan Meru, Kapar pula dinaiki air 0.3 meter, Taman Medan dan Taman Buana dekat Petaling Jaya (0.6 meter), manakala Kampung Tengah dekat Subang dan Taman Kinrara, Puchong masing-masing dinaiki air setinggi 0.9 meter.

"Air semakin surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X