Isnin, 7 March 2022 | 6:21pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Dr Radzi Jidin, pada sidang media selepas Sesi Penerangan Akujanji Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Dr Radzi Jidin, pada sidang media selepas Sesi Penerangan Akujanji Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Sistem penggiliran akan dihentikan pada masa sesuai

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan akan menghentikan sistem penggiliran murid sekolah rendah pada masa sesuai mengikut keadaan semasa ketika negara beralih ke fasa endemik.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya tidak akan menunggu sehingga kadar vaksinasi dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) mencapai 100 peratus bagi menghentikan sistem penggiliran itu.

"Dalam konteks ini, kita tak melihat (peratusan vaksinasi murid sekolah rendah). Jika kita tidak capai peratusan yang disasarkan, misalnya 100 peratus, sampai bila kita hendak gilirkan anak-anak? Adakah kita tidak akan buka sekolah sepenuhnya?

"Jadi, kita tidak melihat kepada nisbah atau peratusan vaksinasi tetapi kita akan melihat kepada keadaan semasa dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Apa yang penting, sampai masa sesuai kita akan kembalikan murid sekolah rendah, termasuk sekolah yang muridnya melebihi 600 orang tanpa sistem penggiliran.

"Kita akan pastikan anak-anak ini dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran dalam mana negara sedang berpindah ke fasa endemik," katanya pada sidang media selepas Sesi Penerangan Akujanji Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan sama ada kementerian meletakkan sasaran pengambilan vaksinasi dalam program PICKids untuk menghentikan sistem penggiliran sekolah rendah.

Radzi berkata, pada masa ini, data KKM merekodkan 32.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun sudah mengambil vaksinasi berbanding pelajar sekolah menengah yang mencapai lebih 50 peratus.

"Kadar vaksinasi sekolah masih rendah berbanding sekolah menengah sebab itu kita juga sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM supaya kita dapat membantu apa saja dalam memudah cara proses anak-anak ini (divaksinasi).

"Kita juga memastikan kemudahan diperlukan di sekolah serta memaklumkan ibu bapa jadual berkaitan vaksinasi yang ditetapkan KKM.

"Kita ingin pastikan lebih ramai anak-anak sekolah divaksin supaya mereka dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat. Maka, ibu bapa perlu membuat keputusan terbaik (vaksin) untuk anak-anak mereka," katanya.

Kelmarin, Radzi dilaporkan berkata, sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 murid perlu mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023, tidak lama lagi.

Berita Harian X