Isnin, 7 March 2022 | 5:17pm

Hanya 15.5 peratus individu bekerja sendiri carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Hanya 15.5 peratus atau 369,107 Orang Bekerja Sendiri (OBS) mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata statistik itu masih terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan OBS di seluruh negara iaitu seramai 2.38 juta orang.

Katanya, berdasarkan rekod PERKESO, bilangan individu bekerja sendiri yang terbabit kemalangan berkaitan pekerjaan meningkat saban tahun.

"Sebagai contoh, bilangan penerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) dalam kalangan OBS menunjukkan peningkatan sebanyak 420 peratus pada tahun 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020 dengan jumlah bayaran sebanyak RM3.9 juta.

"Bagi tuntutan kes Faedah Orang Tanggungan (FOT) dalam kalangan OBS turut meningkat kepada sebanyak 260 peratus pada tahun 2021 berbanding tahun 2020 dengan bayaran hampir RM900,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dengan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bagi Program Kerjasama SKSPS di Menara PERKESO di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pengarah PASTI, Damanhuri Dol.

Awang berkata, berdasarkan statistik itu, beliau merasakan amat wajar untuk mengambil iktibar daripada kes kemalangan yang berlaku.

Katanya, ini kerana seperti sedia maklum, kos rawatan perubatan bagi pencarum akan ditanggung oleh pihak PERKESO.

"Bagi mereka yang kurang bernasib baik pula, balu dan orang tanggungan seperti anak dan ibu bapa juga layak dibantu dengan pampasan lain seperti Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan.

"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pencarum mahupun waris sekiranya ditimba sebarang musibah," katanya.

Oleh itu beliau berharap supaya lebih ramai OBS mencarum di bawah SKSPS itu.

Katanya, ini kerana skim itu memberi peluang buat seluruh Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri untuk mendapatkan perlindungan buat diri dan ahli keluarga yang bergantung kepada mereka, jika ditimpa sebarang musibah ketika bekerja.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, kerajaan menerusi Bajet 2022 menggariskan pelbagai strategi untuk membina semula kehidupan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, salah satu daripada strategi tersebut adalah dengan memperkasa dan menawarkan jaringan perlindungan sosial yang lebih komprehensif di bawah PERKESO kepada Keluarga Malaysia terutama OBS.

"Ini termasuk pengenalan dan pelaksanaan inisiatif SPS Padanan Caruman khusus kepada golongan OBS untuk dilindungi di bawah SKSPS.

"Malah, SPS Padanan Caruman ini turut disasarkan kepada golongan wanita yang bekerja sendiri di bawah 20 sektor termasuklah sektor perkhidmatan sokongan seperti sukarelawan dan pendidikan menerusi inisiatif SPS Usahawanita," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu menunjukkan kerajaan prihatin dan komited untuk melindungi lebih ramai golongan OBS di negara ini tidak mengira jantina, sektor atau industri dengan perlindungan keselamatan sosial.

"PERKESO kini giat melaksanakan pelbagai aktiviti promosi dan libat urus dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menguarkan inisiatif itu supaya lebih ramai golongan OBS dapat memanfaatkan inisiatif SPS Padanan Caruman," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik PERKESO, bilangan guru sukarelawan dan petugas PASTI yang sudah berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS PERKESO ketika ini adalah seramai 9,781 orang.

"Justeru, menerusi jalinan kerjasama bersama pihak PASTI pada hari ini, saya yakin lebih ramai barisan petugas di bawah PASTI akan mencarum dengan SKSPS PERKESO, sekali gus mendapat perlindungan jika berlaku sebarang musibah berkaitan pekerjaan sendiri," katanya.

Berita Harian X