Isnin, 7 March 2022 | 2:07pm
Pada masa ini hanya kira-kira 15 peratus wanita menduduki 222 kerusi Dewan Rakyat. - Foto hiasan NSTP
Pada masa ini hanya kira-kira 15 peratus wanita menduduki 222 kerusi Dewan Rakyat. - Foto hiasan NSTP

Penyertaan wanita dalam politik perlu terus diperkasakan

SHAH ALAM: Malaysia perlu terus memperkasakan penyertaan wanita dalam politik yang mana ia juga satu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Presiden pengasas Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata antara matlamat SDG adalah kesaksamaan gender, yang mana wanita dan lelaki perlu diberi peluang sama rata dalam dalam politik, ekonomi serta bidang lain.

Katanya, Malaysia hakikatnya masih jauh dalam mencapai sasaran 30 peratus wanita yang menjadi perwakilan dalam kerajaan, iaitu piawaian sejagat.

"Di Dewan Rakyat, hanya kira-kira 15 peratus wanita menduduki 222 kerusi di sana manakala dalam Kabinet, terdapat 15.6 peratus daripada Menteri adalah wanita, dan ia lebih rendah untuk Timbalan Menteri, iaitu sekitar 10.5 peratus.

"Justeru, Malaysia perlu meneruskan pemerkasaan politik wanita, walaupun kami sudah membuat langkah kecil," katanya menerusi kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa, hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata pihaknya berbesar hati apabila 37 calon wanita diturunkan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang mana sebelum ini hanya 28 calon wanita ditempatkan.

Bagaimanapun, katanya 37 calon wanita itu hanya menyumbang 15.5 peratus daripada mereka yang bertanding untuk kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

"Dalam pilihan raya akan datang, diharapkan tidak hanya lebih calon akan diletakkan oleh semua parti politik, tetapi lebih banyak lagi calon wanita yang akan menang kerana hanya melalui perwakilan politik, suara wanita boleh didengar seterusnya

nasib mereka dibela," katanya.

Zuraida memaklumkan, bahawa sepanjang beberapa dekad pembabitannya dalam perkhidmatan awam, beliau berusaha untuk meningkatkan pemerkasaan wanita yang mana dalam kementeriannya, golongan wanita membentuk 34 peratus daripada lembaga pengarah serta ahli agensi bawah kementerian.

"Saya juga menggalakkan penyertaan wanita dalam semua peringkat politik dan saya akan terus berbincang dengan kerajaan mengenai cara untuk meningkatkan wanita penyertaan dalam politik.

"Ini termasuk melihat kepada kuota untuk wanita, sebagai contoh bagi calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

"Ini bukan idea baharu, sudah lebih 120 negara menyediakan kuota khusus kepada wanita sama ada dalam bentuk peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negara, perlembagaan parti atau undang-undang pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan boleh memberi mandat sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai awam di Malaysia secara berperingkat mulai tahun ini, ia pasti boleh diperluaskan ke bidang politik.

Berita Harian X