KUALA LUMPUR: Langkah Arab Saudi membatalkan kebanyakan sekatan COVID-19 di negara itu, semalam, bakal mempermudahkan urusan ketibaan umat Islam ke Tanah Suci.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata penarikan balik sekatan berkenaan turut disahkan melalui perbualan beliau dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, malam tadi.
"Ya betul, (beberapa sekatan ditarik semula Arab Saudi) mulai semalam. Tidak perlu lagi kuarantin dan pengembara termasuk umat Islam yang akan menunaikan ibadah suci di negara itu tidak perlu lagi menjalani ujian PCR dan RTK.
"Antaranya, tiada lagi keperluan untuk memakai pelitup muka kecuali di tempat tertutup, dan saf solat juga dirapatkan semula.
"Nampaknya keadaan akan mula kembali seperti sediakala di sana," katanya kepada BH, hari ini.
Media melaporkan Arab Saudi membatalkan kebanyakan sekatan COVID-19, semalam, termasuk penjarakan fizikal di kawasan awam dan kuarantin untuk pelawat yang sudah menerima vaksin.
Malah, langkah itu menyaksikan penjarakan fizikal turut ditamatkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, selain Arab Saudi tidak lagi mewajibkan pelawat yang divaksin untuk menunjukkan keputusan negatif hasil ujian PCR atau RTK sebelum tiba di negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya kini menunggu pengumuman Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan umat Islam yang akan berlepas ke Tanah Suci, susulan keputusan baharu Arab Saudi itu.
Ditanya sama ada perkembangan itu akan turut membantu mengurangkan kos menunaikan umrah pula, Razali tidak menolak kemungkinan itu, terutama berikutan tiada lagi keperluan untuk menjalani kuarantin serta ujian PCR dan RTK.
Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu, berkata jumlah umat Islam di negara ini yang akan menunaikan umrah serta haji, dijangka terus meningkat berikutan langkah diambil Arab Saudi itu.
Beliau berkata, BUMITRA menyambut baik perkembangan itu yang dilihat bakal mempermudahkan urusan kemasukan pengembara ke Arab Saudi, terutama untuk umat Islam ke Tanah Suci.
Malah berdasarkan semakan BUMITRA, katanya, semua penerbangan Arab Saudi yang membawa pengembara luar ke negara itu termasuk jemaah umrah, tidak lagi memerlukan laporan ujian PCR dan RTK, mulai hari ini.
"Kami berharap Kerajaan Arab Saudi akan turut membenarkan pelaksanaan ibadah haji membabitkan umat Islam dari seluruh dunia yang sudah dua tahun tertangguh disebabkan penularan COVID-19.
"Kelonggaran itu sekali gus dapat membantu industri pelancongan dan umrah yang telah dilanda kesuraman sepanjang tempoh terbabit, untuk kembali bangkit serta pulih," katanya.
Harun bagaimanapun menasihati umat Islam yang berada di Tanah Suci supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, termasuk memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal apabila perlu demi menjaga kesihatan masing-masing.