Ahad, 6 March 2022 | 2:32pm
Ismail Sabri merasmikan Kolej Komuniti Satelit@Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut, hari ini. - FOTO BERNAMA
Ismail Sabri merasmikan Kolej Komuniti Satelit@Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut, hari ini. - FOTO BERNAMA

4 Kolej Komuniti di Johor bakal miliki kampus tetap

PONTIAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat Kolej Komuniti (KK) di negeri ini bakal dinaik taraf dengan memiliki kampus tetap, membabitkan peruntukan kira-kira RM61.2 juta.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek berkenaan membabitkan KK Bandar Tenggara di Kota Tinggi; KK Pagoh, Muar; KK Parit Sulong, Batu Pahat; dan KK Simpang Renggam, Kluang.

"Insya-Allah, seperti yang diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), empat KK di Johor bakal mempunyai kampus tetap.

"Semua projek ini membabitkan kos atau peruntukan siling kira-kira RM61.2 juta. Tahniah rakyat Johor," katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vakasional (TVET) sebagai antara pemacu perubahan dalam memenuhi permintaan pekerja daripada pasaran serta pihak industri.

"Kerajaan sangat komited memperkasakan komuniti setempat melalui agenda TVET, yang juga manifestasi kepada usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

"Ramai ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap TVET. Ramai menganggap TVET adalah pendidikan kelas dua atau tempat untuk pelajar yang tercicir. Ini berbanding negara maju di mana TVET menjadi pilihan utama.

"Justeru, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM6.6 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bawah kementerian serta agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan untuk menukar status KK Satelit di Pontian menjadi kolej berstatus kampus.

Berita Harian X