Ahad, 6 March 2022 | 12:58pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat pameran pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat pameran pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan Benut hari ini.

Kerajaan akan gubal dasar memperkasakan TVET

PONTIAN: Kerajaan bercadang menggubal dasar baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran bidang itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Perdana Menteri berkata, langkah itu dilihat sebagai satu keperluan selepas melihat rekod TVET membuktikan mampu melahirkan pekerja mahir terlatih dan berupaya mencipta kerja sendiri serta menjadi rebutan majikan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi berkaitan perlu menjenamakan semula pendidikan TVET bagi menghapuskan persepsi ibu bapa terhadap TVET sebagai pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.

"Ramai ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap TVET ini dan menganggap pendidikan ini seolah-olah kelas kedua atau tertumpu kepada pelajar tercicir.

"Namun, kalau dibandingkan kepada negara luar seperti Jerman dan Perancis, pendidikan tersebut dijadikan pilihan utama," katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Perdana Menteri berkata, dari segi kebolehpasaran pula, pelatih lepasan TVET pada 2020 mencecah 87 peratus mengatasi 84.4 peratus rekod kebolehpasaran di peringkat nasional.

"Secara keseluruhannya kadar kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti pada tahun sama ialah 94.2 peratus. Nilai ini paling tinggi antara institut latihan kemahiran awam yang kita ada di Malaysia," katanya.

Menjelaskan mengenai cadangan menggubal dasar baharu TVET, Perdana Menteri berkata golongan pelajar seharusnya diberi pilihan untuk memilih subjek dalam bidang berkenaan di peringkat lebih awal.

"Di negara maju yang lain, pendidikan TVET dimulakan di awal pendidikan namun berbeza di negara ini, TVET diajar kepada pelajar selepas Tingkatan Tiga, iaitu bermula dengan Tingkatan 4 ke atas barulah pelajar dapat membuat pilihan.

"Jadi, kita (kerajaan) mencadangkan untuk KPT menggubal satu dasar baharu tentang TVET, supaya pelajar-pelajar dapat membuat pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada Tingkatan Satu," katanya," katanya.

Mengenai peluang pemegang sijil TVET ke peringkat universiti, Ismail Sabri berkata perkara itu telahpun diperluaskan berbanding dahulu, apabila sijil pendidikan itu tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

"Namun hari ini sudah ada beberapa universiti di negara ini telahpun menerima sijil vokasional dan sijil latihan TVET ini, untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti.

"Jadi, kepada ibu bapa jangan mempunyai perasaan rendah diri apabila anak-anak belajar di sekolah-sekolah vokasional dan TVET, kerana 'tagline' kita adalah 'TVET menjadi pilihan pertama untuk kerjaya'," katanya.

Ismail Sabri juga berkata, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah kementerian itu juga perlu mempergiatkan lagi pelbagai program dalam mendekati komuniti setempat terutama golongan belia bagi memastikan kursus ditawarkan memenuhi kehendak dan keperluan semasa.

"Saya minta JPPKK secara berterusan mengadakan libat urus bersama kepimpinan masyarakat setempat untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang komuniti perlukan begitu juga kursus ditawarkan mesti dipadankan dengan industri di sekitar kawasan (setempat).

"Jadi, tidak timbul masalah ketidakpadanan antara kerja dan kursus ditawarkan daripada situ barulah kita boleh rangka dan laksanakan program komuniti yang bersesuaian.

"JPPKK juga haruslah secara komprehensif mempromosikan segala manfaat TVET supaya kita mahu persepsi yang mengatakan TVET pendidikan kelas kedua ditepis," katanya.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM25 juta kepada JPPKK tahun ini untuk melaksanakan pelbagai pemerkasaan program TVET dengan mensasarkan 25,000 pelatih mendapat manfaat.

Berita Harian X