Sabtu, 5 March 2022 | 6:20pm
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat pameran landskap dari Majlis Perbandaran Batu Pahat selepas melancarkan Hari Landskap Negara 2022 di Taman EkoFlora hari ini. Turut sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad. - FotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat pameran landskap dari Majlis Perbandaran Batu Pahat selepas melancarkan Hari Landskap Negara 2022 di Taman EkoFlora hari ini. Turut sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad. - FotoBERNAMA

RUU profesion arkitek landskap dalam fasa terakhir

JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam fasa terakhir bersama Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Arkitek Landskap.

Menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata rang undang-undang itu akan dikemukakan sebagai satu kerangka untuk memajukan lagi profesionalisme arkitek landskap di negara ini.

"Perkara ini penting bagi membolehkan kerjaya sebagai profesion arkitek landskap dibangunkan dengan lebih sistematik seperti profesion lain.

"Ini kerana membangunkan landskap ini perlu ada ilmu, perlu ada jiwa, perlu ada pengalaman yang dibina dalam tempoh masa tertentu bagi menjadikannya lebih indah, bermakna dan menambat hati yang melihatnya," katanya berucap pada sambutan Hari Landskap Negara 2022 (HLN2020) di Taman Bandar Ekoflora, hari ini.

Selain itu, Reezal Merican berkata KPKT sedang melihat beberapa model pembangunan industri landskap dan bunga-bungaan untuk mengembangkan sektor itu sebagai sebuah industri bernilai tinggi.

Ia termasuk bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kerja Raya.

"Melihat kepada evolusi 25 tahun pembangunan landskap di negara ini, sudah tiba masanya untuk melihat landskap dan bunga-bungaan ini dalam kerangka industri baharu yang menjadi bidang pertumbuhan baharu kepada negara.

"Ini sememangnya industri yang belum diterokai yang berupaya mencipta pelbagai peluang perniagaan, pekerjaan dan juga kajian-kajian akademik," katanya.

Menurut Reezal Merican berdasarkan permintaan pasaran dunia yang tinggi dengan kadar peningkatan tahunan sebanyak enam peratus, potensi perkembangan industri landskap dijangka dapat menjana ekonomi kepada negara sehingga RM509 juta setahun. – BERNAMA

Berita Harian X