Sabtu, 5 March 2022 | 4:33pm
Seorang penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini menunjukkan keadaan kawasan rumahnya selepas ditenggelami banjir seminggu lalu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Seorang penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini menunjukkan keadaan kawasan rumahnya selepas ditenggelami banjir seminggu lalu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Banjir Kelantan makin pulih

KOTA BHARU: Jumlah mangsa di Kelantan terus berkurangan kepada 1,977 setakat jam 4 petang ini. Semua mereka daripada 570 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dan Tumpat.

Dua PPS di Pasir Mas ditutup pagi tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas dan SK Baroh Pial selepas paras air di rumah penduduk surut serta pulih.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terdiri daripada 616 lelaki dewasa, 666 wanita dewasa, 319 kanak-kanak lelaki, 356 kanak-kanak perempuan dan 20 bayi.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas dan Tumpat semakin berkurangan dengan masing-masing 1,748 orang di lima PPS dan 229 di tiga PPS.

Di Pasir Mas, mangsa banjir masih ditempatkan di SK Tok Deh dengan jumlah 942 mangsa, SK Gual Periok dengan 403 mangsa, PPS Putat Tujoh (272 orang), SK Kedai Tanjong (55 mangsa) dan Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh (76 mangsa).

Di Tumpat mangsa ditempatkan di SK Sri Tumpat 2, SK Pengkalan Kubor 2 dan SK Bunohan.

Berita Harian X