Sabtu, 5 March 2022 | 3:39pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/DANIAL SAAD
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/DANIAL SAAD

Pulau Pinang benarkan tarawih berjemaah di masjid, surau

GEORGETOWN: Pelaksanaan solat sunat tarawih di Pulau Pinang pada Ramadan, tidak lama lagi, akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) menunaikan solat di masjid dan surau ketika ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata pihaknya turut membenarkan pelaksanaan solat sunat tarawih secara berjemaah membabitkan lapan atau 20 rakaat di masjid dan surau, tahun ini.

"Tidak ada SOP khusus, sama ada solat sunat tarawih atau tidak, SOP sama.

"Namun, keputusan untuk melaksanakan lapan atau 20 rakaat solat sunat itu, bergantung pada pihak pengurusan masjid dan kapasiti ruang di masjid atau surau terbabit.

"Kita serahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk tentukan. Sekiranya keadaan di masjid atau surau, pengurusan dapat mengawal jemaah dan mengikut SOP, mereka boleh melaksanakan 20 rakaat.

"Bagaimanapun, sekiranya keadaan masjid sempit atau sukar untuk mengawal jemaah yang ramai, pengurusan masjid perlu mengambil tindakan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 Peringkat Pulau Pinang di Taman Bandaraya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng.

Semalam, media melaporkan umat Islam di negara ini berkemungkinan digalak menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah lapan rakaat, berbanding 20 rakaat.

SOP itu dibayangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), susulan kebimbangan akan penularan varian Omicron membabitkan jemaah ketika ini.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dipetik berkata perkara itu masih tertakluk kepada ketetapan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas mengenai aktiviti moreh pula, Ahmad Zakiyudin berkata, pengurusan masjid atau surau digalakkan untuk membungkus makanan terbabit dan memberikannya kepada jemaah, berbanding mengadakan majlis di kawasan masjid.

Selain itu, katanya, majlis berbuka puasa di kawasan masjid atau surau sekiranya diadakan pula, perlu mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dari segi jumlah kehadiran jemaah ke majlis berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, penganjuran bazar Ramadan dibenarkan dengan mengikut SOP sedia ada yang ditetapkan bagi penjaja di Pulau Pinang. – BERNAMA

Berita Harian X