Jumaat, 4 March 2022 | 5:12pm
Harga makanan ternakan yang terus meningkat mencetuskan kegelisahan kalangan penternak di Negeri Sembilan -Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Harga makanan ternakan yang terus meningkat mencetuskan kegelisahan kalangan penternak di Negeri Sembilan -Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

Penternak resah harga makanan ternakan terus naik

SEREMBAN: Harga makanan ternakan yang meningkat antara 20 hingga 30 peratus sejak kebelakangan ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penternak di Negeri Sembilan.

Pengerusi Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS), Maarif Maarof, berkata sebagai contoh harga dedak meningkat 30 peratus bermula sejak Mac tahun lalu.

Katanya, situasi itu jelas memberi tekanan kepada penternak kerana terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi manakala harga daging yang dipasarkan terpaksa dijual lebih tinggi sekali gus memberi kesan kepada pengguna.

"Ketika ini golongan penternak gelisah dengan kenaikan harga makanan ternakan yang dikesan sejak tahun lalu.

"Alasan diberikan kerana bahan mentah sukar didapati, bagaimanapun perkara ini tidak akan selesai jika kerajaan tidak berbuat sesuatu untuk mengawal harga makanan ternakan ini khususnya dedak.

"Penternak tiada pilihan kerana perlu terus memberikan ternakan makanan tetapi harga makanan yang tinggi memberi kesan yang akhirnya menggugat kepentingan pengguna," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir ke Rumah Sembelih Ruminan Besar Sumobek Sdn Bhd di Kampung Melayu Panchor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maarif berkata, harga makanan kambing pada bulan Mac tahun lalu adalah sekitar RM52 bagi setiap 50 kilogram (kg) namun ketika ini ia meningkat kepada RM64 (50kg).

Menurutnya, harga makanan lembu juga meningkat kepada RM65 bagi setiap 50 kg ketika ini berbanding RM56 pada tahun lalu.

"Penternak berusaha mengurangkan kos ternakan contohnya ada pengusaha yang buat makanan ternakan sendiri dengan beli bahan mentah dan proses sendiri untuk kurangkan kos termasuk dengan menanam rumput.

"Bagaimanapun, harga dedak tetap terus semakin tinggi, itu yang merunsingkan mereka.

"Kerajaan mahu pengeluaran penternakan terus meningkat tetapi kalau harga makanan ternakan terlalu tinggi, penternak tidak mampu untuk mengusahakannya dengan skala yang besar.

"Kami berharap kerajaan dapat mencari jalan terbaik dalam usaha mengurangkan beban penternak terutama berkaitan makanan ternakan ini," katanya.

Berita Harian X