X
Jumaat, 4 March 2022 | 1:18pm

5,000 puyuh mati reban ditenggelami banjir

PASIR MAS: Seorang penternak burung puyuh terpaksa 'berputih mata' melihat lebih 5,000 ternakannya mati selepas reban ditenggelami banjir yang melanda Kampung Lati di sini, menyebabkan kerugian kira-kira RM15,000.

Muhammad Faizuddin Azman, 24, berkata kejadian itu adalah pertama kali berlaku kepada ternakannya kerana selama ini reban puyuh miliknya tidak pernah dinaiki air.

Katanya, dia terpaksa menimbus semua burung puyuh yang mati itu mengelak bau busuk, selain menjaga kebersihan ladang untuk memastikan burung yang terselamat dalam keadaan baik.

"Saya tidak memindahkan kesemua burung puyuh yang ada kerana tidak menyangka banjir melanda akan memenuhi dalam reban. Saya dimaklumkan air naik pada waktu awal pagi Isnin lalu, sebelum bergegas datang ke ladang sekitar jam 7.30 pagi hari yang sama.

"Sebaik tiba, saya hanya mampu beristighfar melihat sejumlah besar burung puyuh sudah mati bergelimpangan di dalam reban sebelum segera mengumpulkan kesemuanya untuk ditanam bagi mengelak bau busuk.

"Ia adalah suatu yang tidak dijangka, namun saya reda dan belajar daripada kesilapan agar lebih bersedia jika berhadapan dengan bencana sebegini selepas ini," katanya ketika ditemui di ladang burung puyuh miliknya di Kampung Lati di sini.

Muhammad Faizuddin yang juga peserta bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), berkata dia mengusahakan ladang ternakan berkenaan kerana menjadi satu-satunya pembekal burung puyuh sejuk beku di daerah itu.

"Disebabkan kejadian ini juga saya terpaksa menyembelih ribuan ekor burung yang masih hidup pada hari sama untuk mengelak ia daripada mati. Saya amat mementingkan kualiti dalam mengusahakan jualan sejuk beku ini.

"Selepas kejadian berkenaan, burung puyuh yang masih selamat dijaga rapi, tambahan pula cuaca masih tidak menentu yang mana turut memberi impak kepada tumbesaran burung puyuh.

"Saya berharap selepas ini tidak ada lagi bencana luar jangka sebegini, selain akan mengambil inisiatif lain bagi memastikan ternakan selamat jika banjir besar melanda lagi," katanya.

Beliau berkata, hasil puyuh sejuk beku yang diusahakannya dijual di seluruh negeri Pantai Timur dan berazam terus mengembangkan perusahaan itu walaupun diuji dengan kejadian terbabit.

Muhammad Faizuddin Azman, 24, menunjukkan lebihan burung puyuh yang mati akibat banjir menenggelamkan reban ternakannya di Kampung Lati, Pasir Mas. - NSTP/Syaherah Mustafa
Muhammad Faizuddin Azman, 24, menunjukkan lebihan burung puyuh yang mati akibat banjir menenggelamkan reban ternakannya di Kampung Lati, Pasir Mas. - NSTP/Syaherah Mustafa
Berita Harian X