Jumaat, 4 March 2022 | 1:01pm

Curi elektrik: Peniaga didakwa sogok pegawai TNB RM126,500

IPOH: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM126,500 dalam kejadian pada Isnin lalu.

Tertuduh, Ding Ai Sing, 50, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Ai Sing didakwa memberi suapan wang tunai RM126,500 kepada pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik 923, M Roof Hotel & Residence, beralamat Pusat Perniagaan Taman Ipoh, Jalan Dato' Lau Pak Kuan pada jam 10.53 pagi, 28 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama. Jika sabit, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, tertakluk mana lebih tinggi.

Tertuduh turut didakwa mengikut pertuduhan pilihan, memberi suapan untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang.

Bagi pertuduhan pilihan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574), jika sabit boleh dipenjara hingga seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor, manakala tertuduh pula diwakili peguam bela, Akmal Jusoh.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh itu, Maziyah memohon tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM1 juta oleh dengan dua penjamin berikutan jumlah suapan terkumpul tertuduh yang sangat tinggi iaitu kira-kira RM1.4 juta.

Hujahnya, ia juga satu kes serius kerana tertuduh menjadi pihak yang berurusan dengan pegawai TNB untuk aktiviti mencuri elektrik dan tertuduh berisiko untuk melarikan diri.

Justeru, Maziyah memohon syarat tambahan dikenakan iaitu pasport tertuduh ditahan mahkamah, selain tertuduh diarah melaporkan diri di pejabat SPRM.

Bagaimanapun, Akmal memohon jaminan itu dikurangkan kerana ahli keluarga tertuduh yang hadir ke mahkamah hari ini hanya membawa wang tunai RM50,000 berikutan akaun bank keluarga tertuduh sudah disita.

Akmal berkata, pihaknya tiada bantahan pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah dan memberi jaminan bahawa tiada risiko tertuduh tidak hadir ke mahkamah atau melarikan diri kerana tertuduh tinggal di Manjung.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan dua penjamin warga tempatan, selain pasport tertuduh diserahkan serta merta sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Ipoh pada setiap hari Sabtu pertama setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 April ini.

Tertuduh, Ding Ai Sing (tengah) mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya. - NSTP/L Manimaran
Tertuduh, Ding Ai Sing (tengah) mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X