Jumaat, 4 March 2022 | 12:00pm
Suppayah (tiga dari kanan) dibantu isteri (dua dari kanan) ketika berkempen di DUN Bukit Kurau. - NSTP/MARY VICTORIA DASS
Suppayah (tiga dari kanan) dibantu isteri (dua dari kanan) ketika berkempen di DUN Bukit Kurau. - NSTP/MARY VICTORIA DASS

Isteri Tionghua bantu kempen Suppayah

KULAI: "Saya berasa bertuah kerana isteri sanggup menemani dan membantu berkempen, terutama ketika berjumpa pengundi Cina," kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, S Suppayah, 57.

Beliau berkata, isterinya, Lee Sok Fong, 53, juga bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat persiapan sebelum mereka keluar berkempen mulai jam 7 pagi setiap hari.

Suppayah mengaku sejak hari pertama berkempen hingga kini, beliau dan isteri hanya tidur antara empat hingga lima jam sehari.

"Kami sudah berkahwin selama lebih 20 tahun. Ketika saya memberitahu terpilih sebagai calon mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, isteri amat positif dan menyatakan hasratnya untuk membantu saya.

"Ia berikutan majoriti pengundi di kawasan DUN Bukit Batu terdiri daripada penduduk berbangsa Tionghua (24,771), di samping Melayu (16,770) dan India (3,790).

"Saya mampu memahami bahasa Mandarin, namun tidak fasih. Oleh itu, isteri membantu berkomunikasi dengan pengundi berbangsa Tionghua ketika berkempen.

"Isteri juga membantu edaran risalah berkaitan PRN. Saya bersyukur kerana isteri menjadi sumber kekuatan sejak saya diumumkan sebagai calon," katanya.

Suppayah yang juga Ketua MIC Bahagian Kulai itu memaklumkan selepas beberapa hari berkempen, beliau gembira menerima sambutan baik pengundi termasuk berbangsa Tionghua.

Beliau yang sudah berkecimpung dalam politik selama 21 tahun berkata, dirinya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan sebelum ini.

"Saya pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) selama 12 tahun dan menangani pelbagai permasalahan rakyat, termasuk ketika pandemik COVID-19.

"Sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat, saya akan berusaha menggerakkan perancangan pembangunan yang tergendala di kawasan ini," katanya.

Suppayah berkata, ada pelbagai perancangan pembangunan tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), termasuk Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Sedenak tetapi pelaksanaannya diteruskan selepas BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

"Ia mampu menarik pelaburan tempatan dan asing, khususnya berkaitan pengurusan data dan perkomputeran, yang akan menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat, termasuk pekerja separa mahir serta sokongan.

"Malah, Kerajaan Johor bawah pemerintahan BN merancang untuk melaksanakan kerja meluruskan 'Selekoh S' Batu 21, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, dengan kos RM8 juta, namun ia tergendala selepas PRU-14," katanya.

Suppayah berkata, pengundi harus bijak membuat pilihan dan tidak sewenang-wenang memberi mandat kepada 'calon pengembara' yang menjanjikan perubahan.

"Saya membesar di Kampung Seri Paya, Kulai, dan mengetahui segala perkara berkaitan Bukit Batu. Sudah tentu saya tidak akan bersikap lepas tangan terhadap pengundi. Tiada masalah untuk saya turun padang pada bila-bila masa," katanya.

Suppayah berdepan saingan calon Parti Warisan (WARISAN), Lee Ming Wen; PKR, Arthur Chiong Sen Sern; dan Perikatan Nasional (PN), Tan Heng Choon.

Berita Harian X