Khamis, 3 March 2022 | 2:17pm
Lokman Noor (kanan) memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman difailkan Khairy terhadapnya. - Foto NSTP
Lokman Noor (kanan) memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman difailkan Khairy terhadapnya. - Foto NSTP

'Bukan fitnah, hanya gesa beri penjelasan'

KUALA LUMPUR: Datuk Lokman Noor Adam menafikan dirinya memfitnah Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin COVID-19, sebaliknya mendakwa beliau meminta Menteri Kesihatan itu memberi penjelasan kepada masyarakat berkaitan perkara berkenaan kerana ia merupakan kepentingan awam.

Lokman Noor, 49, dalam pernyataan pembelaan difailkan semalam, mendakwa beliau bukan seorang antivaksin dan pernyataan-pernyataan dikeluarkannya mempunyai justifikasi serta komen yang adil.

"Saya menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoalkan oleh plaintif (Khairy), bukanlah fitnah kerana ia hanya untuk menggesa beliau memberi penjelasan dan penerangan berkenaan isu viral yang mana terdapat rakaman video menunjukkan vaksin ingin diberikan kepada penerima vaksin, telah tamat tempoh luput," dakwa Lokman Noor menerusi pernyataan pembelaan itu bagi menjawab saman yang difailkan Khairy terhadapnya.

Lokman Noor selaku defendan, mendakwa beliau mempunyai tanggungjawab secara sosial dan moral untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan isu vaksin itu bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

Pada 25 Januari lalu, Khairy, 46, memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman Noor telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar dalam laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Januari, serta membuat kenyataan melalui dua siaran langsung dalam Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari.

Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya, beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga, selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk, selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional, serta menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ex-parte oleh Khairy, antaranya supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam, serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Pada 17 Februari lalu, mahkamah itu juga membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperoleh beliau dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan. – BERNAMA

Berita Harian X