Khamis, 3 March 2022 | 11:03am
Petugas memakai pakaian pelindung diri ketika menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam, Setali, Kuantan. - Foto hiasan NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Petugas memakai pakaian pelindung diri ketika menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam, Setali, Kuantan. - Foto hiasan NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Kematian menurun selepas pelalian COVID-19

KOTA BHARU: Kadar kematian pesakit COVID-19 di Malaysia turun mendadak, selepas program pelalian dilaksanakan.

Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Alwi Muhd Besari @ Hashim, berkata masyarakat disaran untuk mengambil dua dos lengkap suntikan dan dos penggalak untuk mengurangkan jumlah kemasukan ke hospital kerana mereka yang sudah lengkap pelalian, biasanya mengalami risiko rendah.

Katanya, walaupun penyakit COVID-19 masih merebak, jangkitannya tidak menjadi ancaman.

"Perkataan 'pandemik' tidak lagi menimbulkan perasaan gerun kerana virus ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita pada hari ini.

"Masyarakat juga perlu sentiasa bersedia menuju ke arah fasa endemik. Endemik istilah epidemiologi yang bermaksud kadar jangkitan sesuatu penyakit berada di paras tetap dalam sesebuah negara.

"Ini bermaksud, virus COVID-19 akan sentiasa berada di sekeliling kita dan mustahil untuk mencapai kosong kes dalam negara. Endemik tidak bermakna evolusi virus ini sudah menjadi jinak, tetapi virus berkenaan akan kekal atau tetap ada dalam masyarakat kita," katanya, di sini.

Beliau berkata, antara contoh endemik ialah demam denggi, malaria, dan selesema.

Dr Alwi berkata, COVID-19 kini sudah menjadi penyakit yang memang ada dalam masyarakat.

"Penting bagi orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan cara mengambil vaksin dan kekalkan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal secara berterusan.

"Selain itu, penyampaian maklumat yang berkesan harus bermula dari sekarang untuk membolehkan semua pihak bersedia memasuki fasa berkenaan.

"Kita perlu bersedia memasuki fasa endemik yang memerlukan perubahan tingkah laku dalam norma baharu," katanya.

Berita Harian X