Rabu, 2 March 2022 | 2:11pm

Tiada calon SPM positif COVID-19 di Melaka

MELAKA: Seramai 13,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini menduduki peperiksaan bertulis di 109 pusat, bermula hari ini.

Tiada pelajar tercicir menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1, Pendidikan Seni Visual-Teori Seni dan Bahasa Melaka Kertas 2 akibat positif COVID-19 dan dikuarantin.

EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin, berkata daripada jumlah itu seramai 11,352 calon atau 86.4 peratus dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Katanya, selain itu 711 orang adalah calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah agama negeri (28), calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (181) dan calon persendirian (862).

"Ada 72 calon berkeperluan khas yang mengalami cacat fizikal yang menduduki peperiksaan SPM 2021.

"Tiada yang positif COVID-19 atau dikuarantin," katanya selepas melawat pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengetua SMK Bukit Katil Zaiha Ahmad.

Rais berkata, setakat ini, semua pusat peperiksaan SPM di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan di seluruh negeri beroperasi seperti biasa tanpa ada penutupan premis oleh Jabatan Kesihatan negeri atau pusat kesihatan daerah.

Rais berbual-bual dengan calon SPM yang menyerahkan borang deklarasi kesihatan sebelum menduduki peperiksaan di SMK Bukit Katil, hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Rais berbual-bual dengan calon SPM yang menyerahkan borang deklarasi kesihatan sebelum menduduki peperiksaan di SMK Bukit Katil, hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X