Rabu, 2 March 2022 | 1:02pm
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman memberikan kata-kata semangat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kuantan. - Foto NSTP/ T N Alagesh
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman memberikan kata-kata semangat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kuantan. - Foto NSTP/ T N Alagesh

20,675 calon SPM di Pahang, lima ambil di hospital

KUANTAN: Lima calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pahang terpaksa menduduki peperiksaan di hospital akibat kes kemalangan.

Mereka antara 20,675 pelajar tingkatan lima yang menduduki peperiksaan SPM di 11 daerah di Pahang yang bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman, berkata daripada jumlah itu, seramai 10,137 calon lelaki dan 10,538 perempuan mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 264 pusat peperiksaan di Pahang tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 1,375 daripada sekolah menengah agama negeri, 817 calon persendirian, 214 calon sekolah swasta, 100 calon berkeperluan khas dan 91 daripada sekolah menengah agama komuniti.

"Lima calon sedang menduduki peperiksaan di hospital manakala 22 calon yang dilaporkan sakit termasuk pulih daripada kemalangan dan penyakit lain bukan berkaitan COVID-19 sedang menduduki peperiksaan di bawah pemerhatian pengawas," katanya kepada media selepas bertemu calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Sementara itu, Rosli berkata sehingga kini, tiada calon SPM di Pahang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini, atau menjalani kuarantin di rumah akibat COVID-19.

"Mereka yang mempunyai simptom perlu mengisytiharkan dalam aplikasi MySejahtera mereka dan memaklumkan kepada sekolah masing-masing.

"Mereka yang tidak dapat menduduki peperiksaan selepas terjejas oleh COVID-19 akan dibenarkan mengambil peperiksaan mereka kemudian.

"Calon SPM dinasihatkan supaya mematuhi semua prosedur operasi standard COVID-19 semasa peperiksaan.

"Semua langkah yang perlu diambil untuk memastikan calon dapat menduduki peperiksaan mereka tanpa sebarang halangan," katanya.

Terdahulu, Rosli hadir ke SMK Sultan Abu Bakar memberikan kata-kata semangat kepada semua calon SPM.

Beberapa calon tiba seawal jam 6.45 pagi sebelum mereka menduduki kertas pertama pada jam 8 pagi.

SPM bermula hari ini dengan Bahasa Malaysia Kertas 1 dan kertas terakhir pada 29 Mac.

Berita Harian X