Rabu, 2 March 2022 | 12:50pm
CALON SPM di SMK Kompleks KLIA Nilai, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL
CALON SPM di SMK Kompleks KLIA Nilai, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL

543 calon SPM di Negeri Sembilan positif COVID-19

NILAI: Seramai 543 daripada 16,758 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Negeri Sembilan tidak dapat menduduki peperiksaan, selepas disahkan positif COVID-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Md Jamin, berkata calon berkenaan akan menduduki SPM pada sidang kedua bulan depan.

Katanya, pelajar yang positif COVID-19 yang menjalani kuarantin di asrama dan juga di rumah masing-masing.

"Mereka ini boleh menduduki kertas lain sebaik saja selesai kuarantin dan bebas COVID-19.

"Setakat ini, semua sekolah yang terbabit dengan pusat peperiksaan beroperasi seperti biasa. Situasi pandemik COVID-19 di sekolah di negeri ini juga terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat perjalanan hari pertama peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengetua SMK Kompleks KLIA, Ajemek Samut.

Md Fiah berkata, daripada jumlah keseluruhan calon berkenaan, seramai 14,871 calon dari sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, manakala 1,887 calon pula dari kategori lain, termasuk calon persendirian.

Beliau berkata, terdapat 53 calon Murid Berkeperluan Khas, iaitu masalah pembelajaran (15), pendengaran (11), penglihatan (4), fizikal (19) dan pelbagai (4).

Menurutnya, terdapat tiga calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di hospital kerana terbabit dalam kemalangan dan terjatuh di bilik air serta yang sedang dirawat kerana kanser tulang.

"Semua pelajar ini mengambil peperiksaan di Hospital Tuanku Ja`afar Seremban, di Hospital Chinese Maternity Seremban dan di Hospital Tunku Ampuan Najihah di Kuala Pilah," katanya.

Md Fiah berkata, secara keseluruhan terdapat 150 pusat peperiksaan membabitkan sebanyak 138 sekolah.

"Seramai 2,620 petugas peperiksaan bertugas sepanjang peperiksaan SPM kali ini, selain 150 petugas simpanan dilantik, bagi melancarkan perjalanan peperiksaan berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keselamatan membabitkan soalan peperiksaan pelajar yang bakal mengambil peperiksaan fasa kedua, beliau berkata, mereka akan menerima soalan yang berbeza daripada pelajar yang menduduki peperiksaan fasa pertama.

"Standardnya sama termasuk dari segi tempoh peperiksaan bagi setiap subjek ditetapkan," katanya.

Berita Harian X