Rabu, 2 March 2022 | 12:03pm

310 PMKS terima manfaat BEEP RM38.7 juta pada 2021 - Noh

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM38.7 juta geran diluluskan yang memberi manfaat kepada 310 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata program berkenaan menyediakan bantuan berbentuk geran dengan nilai maksimum sehingga RM500,000 bagi tujuan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS)

Katanya, namun, program BEEP ini tidak menyediakan geran secara keseluruhan (100 peratus) tetapi diberikan dalam bentuk geran padanan dan tertakluk kepada kelulusan.

"Bantuan geran yang dipertimbangkan mengikut saiz syarikat seperti yang mana 90 peratus untuk syarikat bersaiz mikro, 60 peratus untuk syarikat bersaiz kecil, dan 50 peratus untuk syarikat bersaiz sederhana.

"Geran padanan ini dilaksanakan bagi memastikan adanya komitmen di pihak syarikat untuk menanggung sebahagian kos dan menjadi antara kaedah kawalan risiko di pihak kerajaan bagi memastikan syarikat komited untuk meneruskan projek yang diluluskan sehingga selesai," katanya pada sesi soal jawab lisan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Nizar dalam soalannya ingin mengetahui sama ada kementerian itu bercadang menukar geran bantuan yang diberikan sebelum ini kepada geran padanan boleh ubah.

Noh menjelaskan bagi syarikat PKS yang memohon pembiayaan untuk menambah baik perniagaan di bawah Program Pembiayaan Digital PMKS (DFI), mereka layak untuk mendapat penukaran geran sehingga 50 peratus (maksimum RM250,000) daripada perbelanjaan yang layak dimohon.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pembelian mesin dan peralatan; aplikasi sistem, eCommerce, e-Pembayaran dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT); pembungkusan dan produk pembungkusan; pengiklanan dan promosi dan Persijilan dan Sistem Pengurusan Kualiti.

Beliau berkata, sehingga Oktober tahun lalu, sejumlah 20 PKS sudah mendapat kelulusan penukaran geran membabitkan kos berjumlah RM4.7 juta di bawah SME Corp Malaysia yang baharu dimulakan pada akhir tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Berita Harian X