Rabu, 2 March 2022 | 11:21am

137 calon SPM dikuarantin di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Seramai 137 daripada 20,051 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pulau Pinang menjalani kuarantin akibat COVID-19.

Daripada jumlah itu, 98 daripadanya didapati positif COVID-19 dan 39 lagi kontak rapat.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata calon dikuarantin akan menduduki SPM 2021 sesi kedua pada tarikh yang akan diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Katanya, 15 hospital di negeri ini juga bersedia dijadikan pusat peperiksaan dan akan menerima calon sekiranya berlaku kes berkaitan kesihatan.

"Pada peperiksaan kali ini, seramai 20,051 calon yang ditempatkan di 150 pusat peperiksaan seluruh Pulau Pinang.

"Seramai 18,427 calon sekolah kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA (369), sekolah agama negeri (158), swasta (175), persendirian (872) dan sekolah agama rakyat 50.

"Terdapat sebanyak 43 pusat peperiksaan di daerah Timur Laut, Barat Daya (14), Seberang Perai Utara (33), Seberang Perai Tengah (39) dan Seberang Perai Selatan (21)," katanya selepas melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Gelugor, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, terdapat 123 calon berkeperluan khas yang menduduki SPM 2021 dan seorang calon menduduki peperiksaan di hospital.

"Peperiksaan kali ini membabitkan seramai lebih 2,000 petugas di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Calon SPM SMK Bukit Jambul memasuki dewan peperiksaan. - Foto NSTP/Mikail Ong
Calon SPM SMK Bukit Jambul memasuki dewan peperiksaan. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X